ISTANBUL, 22 Sept. - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin sekali lagi mengecam serangan rentas sempadan yang dilancarkan kumpulan Houthi dari Yaman terhadap Arab Saudi, termasuk cubaan serangan yang menyasarkan Riyadh, lapor Anadolu Ajansi.
"Kami amat bimbang dengan peningkatan ketegangan yang berterusan di Yaman dan kawasan sekitarnya, termasuk serangan Houthi di Taiz, Lahij dan Marib, hingga membawa kesan serius terhadap orang awam di Yaman serta seluruh rantau," kata jurucakap PBB Stephane Dujarric kepada pemberita.
Dujarric berkata serangan rentas sempadan itu menyasarkan kawasan awam dan infrastruktur tenaga penting di seluruh Arab Saudi, sambil menggesa semua pihak supaya "menahan diri dan mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan selanjutnya."
Serangan rentas sempadan Houthi baru-baru ini mencederakan orang awam di selatan Arab Saudi, manakala pertempuran yang kembali tercetus menjejaskan laluan perkapalan dan menyebabkan penduduk awam kehilangan tempat tinggal di Yaman. - ©BERNAMA