Pejabat Kemanusiaan PBB menegaskan sokongan usaha tindak balas gempa bumi di Colombia

13 Og 2026 - 10:44am

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, 13 Ogos. - Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (Office for the Coordination of Humanitarian Affairs-OCHA) dan rakan-rakannya terus menyokong usaha tindak balas yang diketuai kerajaan terhadap gempa bumi dahsyat di Colombia, kata pejabat berkenaan pada Rabu.

Laporan terkini menunjukkan bahawa lebih 200 orang terkorban manakala 2,500 yang lain cedera. Kerosakan meluas terhadap rumah kediaman dan infrastruktur awam turut dilaporkan, kata OCHA dalam kemas kini berita hariannya.

Penilaian kemanusiaan sedang dijalankan, khususnya di kawasan yang paling teruk terjejas, di mana gangguan terhadap komunikasi, pengangkutan dan perkhidmatan awam terus menjejaskan usaha bantuan. Tempat perlindungan kecemasan, bantuan makanan, akses kepada air minuman yang selamat serta penjagaan kesihatan bagi masyarakat yang terjejas merupakan antara keutamaan utama, kata pejabat tersebut.

PBB dan rakan-rakannya turut menggerakkan sumber bantuan. Program Makanan Sedunia (World Food Programme-WFP) menghantar bekalan makanan, manakala Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menghantar bekalan perubatan dari gudangnya di negara tersebut, kata OCHA.

Farhan Haq, Timbalan Jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, berkata pada Rabu bahawa peruntukan daripada Dana Tindak Balas Kecemasan Pusat PBB (UN Central Emergency Response Fund-UN CERF) sedang dalam proses disalurkan.

PBB akan melancarkan rayuan bantuan bagi mangsa gempa bumi di Colombia sebaik sahaja maklumat mengenai skala kerosakan diperoleh, kata Haq, sambil menyatakan bahawa keperluan bantuan dijangka sangat besar. - ©XINHUA