Pemimpin Libya tekankan kepentingan penyatuan angkatan tentera

10 Og 2026 - 11:47am

TRIPOLI, 10 Ogos. - Perdana Menteri Libya Abdul-Hamed Dbeibah pada Ahad menegaskan bahawa penyatuan institusi ketenteraan merupakan tonggak utama dalam memperkukuh keselamatan, kestabilan dan kedaulatan negara itu, lapor Xinhua.

Dalam ucapan sempena ulang tahun ke-86 penubuhan asas Tentera Libya pada 9 Ogos, al-Menfi menegaskan usaha untuk menyatukan institusi ketenteraan negara itu akan diteruskan.

Beliau berkata meskipun Libya berdepan pelbagai cabaran, negara itu terus mengorak langkah bagi melengkapkan proses penyatuan institusi ketenteraan serta memperkukuh strukturnya sebagai sebuah institusi nasional.

Al-Menfi berkata angkatan tentera perlu beroperasi “di bawah kepimpinan awam yang bersatu” bagi mempertahankan negara, menjamin keselamatan dan kestabilan serta memelihara kedaulatan dan sumbernya, tanpa dipengaruhi pertikaian dan perpecahan politik.

Sementara itu, Dbeibah menerusi kenyataan di laman Facebook rasminya berkata “angkatan tentera nasional yang bersatu kekal sebagai antara tonggak negara dan jaminan terpenting terhadap keselamatan, kestabilan serta kedaulatan”.

“Sesebuah negara tidak dapat berfungsi sepenuhnya selagi terdapat pelbagai angkatan bersenjata yang berada di luar kawalan institusi negara,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa penyatuan institusi ketenteraan, pemantapan profesionalisme serta memastikan senjata berada di bawah kuasa negara dan undang-undang kekal antara keutamaan dalam usaha membina negara seperti yang dicita-citakan rakyat Libya.

Libya pada Ahad memperingati ulang tahun ke-86 penubuhan asas tenteranya, yang menjadi antara langkah terawal dalam pembentukan institusi ketenteraan negara itu.

Libya sekian lama berdepan perpecahan ketenteraan antara pasukan yang berpihak kepada kelompok di timur dan barat negara itu.

Sejak kejatuhan pemerintahan Muammar Gaddafi pada 2011, Libya terbahagi antara Kerajaan Perpaduan Nasional yang berpusat di Tripoli dengan pentadbiran di timur yang disokong Tentera Nasional Libya (LNA). - ©BERNAMA