Pendaki Jerman maut terjatuh di pergunungan Alps, Austria

14 Og 2026 - 10:54am

VIENNA, 14 Ogos. - Seorang pendaki Jerman berusia 36 tahun maut selepas terjatuh sejauh 50 hingga 100 meter ketika melakukan pendakian di Pergunungan Alps Austria, menurut polis pada Khamis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Lelaki itu sedang mendaki bersama bapa mentua dan dua abang iparnya di Pergunungan Alps Zillertal di Tyrol apabila hilang keseimbangan di laluan sempit ketika menuruni gunung. Mangsa gagal berpaut pada kabel keselamatan keluli lalu jatuh ke kawasan yang curam dan berbatu.

Tiga rakannya turun mendapatkan mangsa dan cuba menyedarkannya, manakala seorang daripada mereka menghubungi perkhidmatan kecemasan. Pasukan perubatan kecemasan yang tiba dengan helikopter turut berusaha menyelamatkan mangsa, namun mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayatnya kemudian dibawa keluar menggunakan helikopter polis.

Kejadian  itu berlaku di Morchnerscharte, sebuah laluan pergunungan pada ketinggian lebih 2,800 meter dari aras laut. Beberapa hari sebelum itu, seorang pendaki Jerman berusia 74 tahun turut maut akibat terjatuh di East Tyrol. Penyiasat percaya mangsa juga terjatuh ketika menuruni gunung. - ©BERNAMA