Penduduk Semenanjung Arab nanti kemunculan bintang Suhail

23 Og 2026 - 8:08am

JEDDAH, 23 Ogos. - Penduduk Semenanjung Arab sedang menantikan kemunculan bintang Suhail di kaki langit selatan pada waktu subuh esok (Isnin), antara tanda cakerawala paling terkenal berkaitan dengan perubahan musim di rantau itu, lapor Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

Ketua Persatuan Astronomi Jeddah Majed Abu Zahra berkata kemunculan Suhail sejurus sebelum matahari terbit menandakan bermulanya satu tempoh apabila kemuncak cuaca panas musim panas beransur-ansur reda dan suhu waktu malam mula menjadi sederhana sedikit demi sedikit, manakala sudut pancaran sinar matahari berubah apabila Bumi menghampiri ekuinoks musim luruh.

Beliau berkata Suhail, yang dikenali di peringkat antarabangsa sebagai Canopus, ialah bintang kedua paling terang di langit malam selepas Sirius. Bintang itu terletak kira-kira 310 tahun cahaya dari Bumi.

Suhail mempunyai kedudukan istimewa dalam kalangan masyarakat Arab sejak zaman dahulu kerana kemunculannya menjadi petunjuk musim yang digunakan penduduk Semenanjung Arab untuk menandakan permulaan fasa baharu dalam setahun.

Dalam tradisi masyarakat, kemunculan bintang itu dikaitkan dengan penurunan keamatan cuaca panas dan perubahan keadaan cuaca.

Abu Zahra berkata kemunculan Suhail dengan sendirinya tidak menyebabkan perubahan cuaca kerana bintang itu terletak amat jauh dan tidak mempunyai kesan terhadap iklim Bumi.

Sebaliknya, kemunculannya bertepatan dengan perubahan tahunan semula jadi akibat pergerakan Bumi mengelilingi Matahari dan kecondongan paksinya. - ©BERNAMA