Penerbangan di Sicily dibatalkan susulan gunung etna muntahkan abu dan batuan

10 Og 2026 - 11:44am

ROM, 10 Ogos. - Tahap aktiviti gunung berapi yang tinggi di Gunung Etna di Itali menyebabkan gangguan penerbangan di Lapangan Terbang Catania, Sicily pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (DPA).

Gunung berapi paling aktif di Eropah itu terus memuntahkan sejumlah besar abu dan batuan pijar.

Menurut Institut Geofizik dan Vulkanologi Kebangsaan (INGV), aliran lava tebal sedang keluar dari dua kawah pada ketinggian 2,360 meter (m) dan 2,750m.

Pengendali lapangan terbang memaklumkan bahawa semua penerbangan masuk ke Lapangan Terbang Catania yang terletak berhampiran digantung sehingga 5 petang (1500 GMT) pada Isnin berikutan potensi risiko terhadap trafik udara.

Trafik udara telah terganggu sejak beberapa hari lalu ketika musim cuti sedang memuncak.

Penerbangan keluar turut terjejas, menyebabkan pelancong terpaksa menggunakan lapangan terbang di Palermo, ibu negeri pulau itu, atau menaiki kereta api.

Amaran tertinggi, iaitu amaran merah, sedang dikuatkuasakan ketika ini. Ia bermakna letusan yang melibatkan kepulan abu dalam jumlah besar dijangka berlaku dalam masa terdekat atau sedang berlaku.

Gunung Etna, yang mempunyai ketinggian melebihi 3,300 meter, kerap meletus dan sentiasa dipantau. - ©BERNAMA