WASHINGTON, 22 Sept. - Operasi penerbangan di beberapa lapangan terbang di timur laut Amerika Syarikat (AS) kembali pulih pada petang Isnin selepas talian telekomunikasi berjaya dibaik pulih, kata Setiausaha Pengangkutan AS Sean Duffy.
"Proses untuk mengatasi semua kelewatan sedia ada akan mengambil sedikit masa, justeru sila semak dengan syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan maklumat terkini," kata Duffy menerusi X, menurut Agensi Akhbar Jerman (dpa).
Terdahulu, kru pembinaan Amtrak secara tidak sengaja memotong kabel gentian optik di New Jersey, menyebabkan gangguan perkhidmatan yang mendorong Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengenakan sekatan sementara (ground stop) terhadap penerbangan menuju ke beberapa lapangan terbang di rantau berkenaan.
Gangguan itu turut mendapat perhatian susulan jangkaan ketibaan ramai diplomat dan pemimpin dunia di New York minggu ini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Menurut FAA, sekatan itu pada mulanya dikenakan terhadap penerbangan menuju ke Lapangan Terbang Newark di New Jersey pada pagi Isnin ekoran gangguan peralatan.
Sekatan itu kemudian diperluas ke beberapa lapangan terbang lain termasuk LaGuardia dan JFK di New York, Lapangan Terbang Antarabangsa Logan di Boston serta Lapangan Terbang Antarabangsa Philadelphia. - ©BERNAMA