Perak sasar mara ke pentas final bola sepak SUKMA 2026

14 Og 2026 - 11:01am

IPOH, 14 Ogos. - Perak meletakkan sasaran mara ke perlawanan akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, meskipun menyedari bakal berdepan saingan sengit daripada pasukan lain yang turut memburu slot ke pentas final.

Ketua Jurulatih Perak Syamsol Saad berkata sasaran itu didorong kehadiran lima pemain berpengalaman yang pernah beraksi bersama skuad senior dalam saingan Liga A1 Semi-Pro, selain persiapan pasukan yang berjalan lancar menerusi beberapa aksi persahabatan sebelum berlangsung temasya sukan tersebut.

"Secara realistiknya, kita berdepan sedikit cabaran kerana tidak begitu mengenali semua lawan memandangkan Perak tidak beraksi dalam saingan Piala Presiden. Jadi, kita tidak mempunyai gambaran menyeluruh mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan lain.

"Namun, kehadiran lima pemain iaitu J. Tamotheran, Ahmad Daniel Hakimi Ahmad Azmil, Ahmad Danish Haikal Abdullah, Ahmad Farihin Hazimi Saifulnizam dan Iffat Fahmi secara tidak langsung menambah kekuatan serta keyakinan pasukan untuk mara hingga ke perlawanan akhir edisi kali ini," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada edisi di Sarawak dua tahun lepas, Perak yang dibimbing Mohd Shahril Nizam Khalil berjaya mara ke suku akhir sebelum tewas 1-2 kepada Melaka.

Bagi edisi kali ini, Perak diundi dalam Kumpulan ‘D’ bersama-sama Melaka, pemenang pingat perak SUKMA 2024 dan Kelantan yang meraih pingat gangsa pada edisi sama.

Mengulas pertemuan menentang Kelantan di Stadium UiTM Shah Alam hari ini, Syamsol yakin tiga mata penuh mampu diraih sekiranya pemain mengekalkan disiplin, fokus dan keyakinan sepanjang 90 minit permainan.

Beliau berkata pemain juga perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah serta memanfaatkan setiap peluang yang terhidang bagi memastikan Perak membuka kempen dengan keputusan positif.

"Kelantan bukan calang-calang pasukan dan mereka meraih tempat ketiga pada edisi lepas.

"Jadi pemain perlu memberikan tumpuan sepenuhnya sejak wisel pertama. Kita mahu mereka bermain dengan tenang, mengikut perancangan dan paling penting percaya kepada kemampuan sendiri," katanya. - ©BERNAMA