SALINAS, AMERIKA SYARIKAT, 7 Ogos. - Barisan salad romaine yang terbentang luas di ladang Lembah Salinas, California, kini dibiarkan layu dan menguning apabila permintaan terhadap hasil tanaman itu merosot susulan penularan wabak ‘cyclosporiasis’ di beberapa negeri di Amerika Syarikat.
Efrain Mandujano daripada Empire Farm Labor Contractor berkata, sebahagian kawasan ladang dijadualkan untuk dituai, namun sebahagian lagi terpaksa dibiarkan kerana tiada pesanan diterima selepas sebuah syarikat yang berpangkalan di Salinas dikaitkan dengan siasatan wabak berkenaan.
Taylor Farms, sebuah syarikat pembekal utama sayur-sayuran segar yang berpangkalan di Salinas, kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa kesihatan persekutuan Amerika Syarikat sebagai sumber berpotensi kepada wabak ‘cyclosporiasis’ yang melibatkan beberapa negeri. Syarikat itu merupakan antara pembekal terbesar sayur-sayuran segar yang dipotong dan salad sedia dimakan di Amerika Utara, dengan rangkaian operasi di Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Eropah Barat.
Lembah Salinas, yang dikenali sebagai “Salad Bowl of the World”, menyumbang kepada pengeluaran sebahagian besar bekalan salad negara, dengan California dan Arizona menghasilkan hampir 90 peratus daripada keseluruhan pengeluaran salad Amerika Syarikat.
Beberapa kontraktor buruh serta kakitangan syarikat pengeluar hasil pertanian yang ditemu bual Xinhua memaklumkan bahawa pesanan daripada pelanggan telah berkurangan dengan ketara, menyebabkan hasil tanaman tidak dituai dan pekerja kehilangan sebahagian waktu bekerja.
Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC), cyclosporiasis ialah penyakit usus yang disebabkan oleh parasit mikroskopik ‘Cyclospora’, yang boleh merebak melalui makanan atau air yang tercemar dengan najis manusia.
Bagi tempoh 1 Mei hingga 27 Julai lalu, CDC merekodkan sebanyak 6,707 kes jangkitan domestik yang disahkan secara makmal di 45 negeri, termasuk 423 kes yang memerlukan rawatan di hospital, manakala lebih 11,500 kes lagi masih dalam proses semakan.
Daripada jumlah itu, sekurang-kurangnya 1,947 kes dikenal pasti sebagai sebahagian daripada wabak di sembilan negeri yang dikaitkan dengan salad iceberg yang ditarik balik daripada pasaran, dibekalkan oleh Taylor Farms de Mexico dan diperoleh dari Mexico tengah. Individu yang dijangkiti dilaporkan mengambil makanan di restoran Taco Bell.
Pada 3 Ogos lalu, CDC memaklumkan bahawa dua kematian di Michigan yang melibatkan individu dengan masalah kesihatan sedia ada dipercayai berkaitan wabak tersebut, manakala beberapa kluster jangkitan lain di seluruh negara masih dalam siasatan.
“Musim ini amat sukar,” kata Mandujano. “Wabak ini memberi kesan besar kepada pekerja ladang. Mereka hanya bekerja kira-kira separuh daripada waktu biasa kerana kekurangan kerja, malah ramai terpaksa tinggal di rumah”.
Seorang pengurus pemasaran sebuah ladang salad di Salinas, yang enggan dikenali, berkata jualan syarikatnya merosot kira-kira 50 peratus, manakala sebuah lagi syarikat pengeluar di kawasan sama melaporkan penurunan yang hampir serupa.
Laporan yang diterbitkan oleh Capital Public Radio pada 31 Julai turut menunjukkan keadaan sama di beberapa kawasan pertanian lain di California. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Western Growers, Dave Puglia, berkata ahli-ahlinya mengalami kejatuhan permintaan yang ketara, termasuk bagi tanaman yang tidak mempunyai kaitan langsung dengan wabak berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Fresno County Farm Bureau, Ryan Jacobsen, berkata banyak ladang terpaksa membiarkan hasil tanaman tidak dituai kerana tiada pasaran, manakala pakar keselamatan hasil pertanian dari University of California, Davis, Trevor Suslow, menjelaskan bahawa kekeliruan pengguna menyebabkan sebahagian mereka mengelakkan pembelian pelbagai jenis hasil pertanian.
Pengurus pemasaran di Salinas itu berkata kekeliruan mengenai produk yang benar-benar terlibat dalam wabak tersebut turut menyumbang kepada kemerosotan permintaan.
“Apa yang mengecewakan ialah kurangnya komunikasi yang jelas antara kerajaan dan pengguna. Ramai menyalahkan salad sebagai punca penyakit, sedangkan salad yang kami hasilkan adalah selamat,” katanya. - ©XINHUA