HYDERABAD, 7 Ogos. - Republik India dan Republik Rakyat China mengadakan rundingan mengenai pengurusan sempadan dan isu persempadanan di New Delhi, sambil menekankan kepentingan mengekalkan keamanan dan kestabilan di kawasan sempadan.
Mesyuarat ke-36 Mekanisme Kerja bagi Rundingan dan Penyelarasan Hal Ehwal Sempadan India-China (WMCC) berlangsung pada Khamis, menurut Kementerian Luar India dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
"Kedua-dua pihak mengadakan perbincangan secara terbuka dan menilai situasi di sepanjang Garisan Kawalan Sebenar (LAC).
"Selain itu, kedua-dua pihak menegaskan bahawa usaha mengekalkan keamanan dan ketenteraman di kawasan sempadan amat penting bagi pembangunan keseluruhan hubungan dua hala," menurut kenyataan itu.
Rundingan itu meliputi isu berkaitan persempadanan, pengurusan sempadan dan kerjasama rentas sempadan.
"Kedua-dua pihak bersetuju untuk terus menggunakan saluran diplomatik dan ketenteraan sedia ada, termasuk WMCC, mesyuarat peringkat komander tempatan dan mekanisme lain yang dipersetujui, bagi menyelesaikan isu tertunggak serta mengelakkan salah faham dan salah perkiraan di sepanjang LAC," menurut kenyataan India itu.
India turut meminta agar mesyuarat seterusnya melibatkan pakar mengenai sungai rentas sempadan diadakan secepat mungkin, selain menekankan kepentingan perkongsian maklumat teknikal mengenai projek di kawasan hulu sungai.
Delegasi India diketuai Setiausaha Bersama Kementerian Luar, Sujit Ghosh, manakala delegasi China diketuai Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Sempadan dan Lautan Kementerian Luar China, Hou Yanqi.
Mesyuarat WMCC sebelum ini diadakan di Beijing pada Mei lalu. - ©BERNAMA