SEOUL, 9 Ogos. - Polis Republik Korea Selatan pada Ahad memaklumkan akan melancarkan operasi di seluruh negara bagi membanteras jenayah terancang dan kesalahan rentas sempadan mulai minggu depan, dengan tumpuan terhadap gengster muda yang terbabit dalam penipuan dan pengubahan wang haram, lapor Agensi Berita Yonhap.
Agensi Polis Kebangsaan Korea (KNPA) berkata operasi khas itu akan bermula Isnin dan berterusan hingga 31 Oktober, dengan sasaran terhadap jenayah kewangan berkeuntungan tinggi seperti penipuan terancang, pinjaman wang haram, operasi perjudian dalam talian dan pengubahan wang haram.
KNPA turut merancang mengambil tindakan terhadap penjenayah yang menunjuk-nunjuk kekayaan hasil kegiatan haram di media sosial sehingga menimbulkan ketakutan dalam kalangan orang ramai, selain membekukan hasil jenayah bagi memutuskan sumber pembiayaan mereka.
Bagi jenayah rentas sempadan, KNPA berkata tumpuan akan diberikan kepada pengedaran dadah, khususnya dadah sintetik seperti ketamin, serta jenayah terancang membabitkan warga asing.
Agensi itu juga merancang memperhebat pengumpulan risikan dalam komuniti warga asing, termasuk di tempat kerja dan kawasan hiburan malam.
Operasi itu dilancarkan susulan peningkatan ketara jenayah terancang dan kesalahan rentas sempadan pada separuh pertama tahun ini.
Antara 9 Mac hingga 30 Jun, polis menahan 1,185 anggota kumpulan samseng dan menangkap 225 daripada mereka, masing-masing meningkat 9.7 peratus dan 48.3 peratus berbanding operasi sebelumnya.
Suspek berusia 30-an dan ke bawah merangkumi 63.6 peratus daripada jumlah yang ditahan, manakala penipuan merupakan kesalahan paling banyak direkodkan dengan 42.7 peratus.
Dalam tempoh empat bulan pada separuh pertama tahun ini, polis menahan 641 individu dan menahan 133 daripada mereka untuk siasatan lanjut.
Jumlah warga asing yang dikenakan tindakan oleh polis pada separuh pertama tahun ini meningkat 9.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas kepada 18,130 orang, manakala jenayah berkaitan dadah melonjak 29 peratus.
“Dengan kerjasama rapat pihak berkuasa berkaitan, kami akan terus membanteras jenayah terancang dan rentas sempadan serta memperkukuh pengumpulan risikan,” menurut KNPA. - ©BERNAMA