BEIJING, 9 Ogos. - Balai cerap kebangsaan Republik Rakyat China pada Ahad mengaktifkan amaran merah, iaitu tahap tertinggi dalam sistem amaran taufan negara itu, apabila Taufan Dolphin menghampiri pantai timur Republik Rakyat China.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC), taufan itu dijangka membadai kawasan pantai antara Zhoushan di Wilayah Zhejiang hingga Fuding di Wilayah Fujian.
Sehingga pukul 10.00 pagi Ahad, pusat taufan berada kira-kira 215 kilometer di timur pesisir Wenzhou, Zhejiang, dengan kelajuan angin maksimum berhampiran pusatnya mencecah 45 meter sesaat, menurut NMC.
NMC meramalkan Taufan Dolphin akan bergerak ke arah barat pada kelajuan 20 hingga 25 kilometer sejam. Selepas membadai daratan, ia dijangka bergerak ke arah barat laut dan beransur-ansur menjadi lemah.
Dari Ahad hingga Rabu, taufan itu dijangka membawa hujan lebat hingga sangat lebat ke beberapa wilayah termasuk Fujian, Zhejiang dan Shanghai, selain Shandong, Tianjin dan Beijing. Kawasan terjejas turut dijangka mengalami hujan lebat dalam tempoh singkat, ribut petir serta angin kencang.
Sebagai langkah menghadapi taufan tersebut, pihak berkuasa meteorologi Republik Rakyat China pada Ahad meningkatkan tindak balas kecemasan bagi bencana meteorologi teruk daripada Tahap III kepada Tahap II. - ©XINHUA