Republik Rakyat China keluarkan tafsiran kehakiman pertama sokong Kod Ekologi dan Alam Sekitar

6 Og 2026 - 12:01pm

BEIJING, 6 Ogos. - Mahkamah Agung Rakyat China mengeluarkan satu set peruntukan yang merupakan tafsiran kehakiman pertama bagi menyokong pelaksanaan Kod Ekologi dan Alam Sekitar negara itu.

Peruntukan berkenaan bertujuan memastikan peralihan daripada undang-undang sedia ada kepada kod baharu dilaksanakan dengan lancar, sekali gus menjamin pelaksanaan Kod secara menyeluruh dan tepat.

Menurut Mahkamah Agung Rakyat China, peruntukan tersebut akan mula berkuat kuasa serentak dengan Kod berkenaan pada 15 Ogos.

Mengandungi 13 artikel, peruntukan itu memperjelaskan piawaian umum serta peraturan khusus bagi mahkamah dalam mengguna pakai undang-undang lama dan baharu ketika mengendalikan kes-kes berkaitan alam sekitar selepas Kod tersebut berkuat kuasa.

Peruntukan itu menetapkan bahawa, pada asasnya, kes yang berasaskan fakta yang berlaku sebelum Kod berkuat kuasa akan diputuskan mengikut undang-undang serta tafsiran kehakiman yang berkuat kuasa pada ketika itu, manakala kes yang timbul selepas tarikh tersebut akan dikendalikan mengikut Kod baharu.

Kod Ekologi dan Alam Sekitar telah diluluskan oleh badan perundangan tertinggi Republik Rakyat China pada Mac lalu.

Kod yang mengandungi 1,242 artikel itu merangkumi lima bab utama yang meliputi kawalan pencemaran, perlindungan ekologi, serta pembangunan hijau dan rendah karbon.

Kod tersebut juga selaras dengan komitmen Republik Rakyat China untuk mencapai kemuncak pelepasan karbon sebelum tahun 2030 dan merealisasikan sasaran neutraliti karbon menjelang 2060. - ©XINHUA