BEIJING, 6 Ogos. - Republik Rakyat China berjaya mengoperasikan platform tenaga angin terapung 16 megawatt (MW) pertama yang dibangunkan sendiri dan direka untuk menahan taufan, sekali gus menandakan satu lagi kemajuan penting dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui negara itu.
Menurut Perbadanan Minyak Luar Pesisir Kebangsaan China (CNOOC), platform yang dinamakan “Haiyou Anlan” itu telah disambungkan ke grid kuasa Medan Minyak Lufeng dan kini membekalkan tenaga elektrik hijau secara langsung.
Platform berasaskan sistem Tension-Leg Platform (TLP) itu direka dan dibina bagi menahan keadaan cuaca ekstrem, termasuk taufan besar dengan kelajuan angin berterusan sehingga kira-kira 220 kilometer sejam.
CNOOC memaklumkan, kejayaan pembinaan dan pengoperasian platform berkenaan merupakan satu pencapaian besar dalam pembangunan teknologi peralatan tenaga angin terapung laut dalam Republik Rakyat China, sekali gus membuka laluan baharu bagi pembangunan tenaga angin luar pesisir negara itu.
Platform tersebut dipasang kira-kira 136 kilometer dari pesisir pantai di Lembangan Muara Sungai Pearl, bahagian utara Laut China Selatan. Ia mempunyai ketinggian hampir menyamai bangunan 110 tingkat, seberat 7,800 tan, serta bilah turbin dengan keluasan putaran bersamaan 7.5 padang bola sepak standard.
Tenaga elektrik yang dijana disalurkan ke grid kuasa Medan Minyak Lufeng melalui kabel dasar laut. Kemudahan itu dijangka menghasilkan sekitar 54 juta kilowatt-jam tenaga elektrik hijau setiap tahun.
Berbanding platform tenaga angin luar pesisir jenis separa tenggelam, sistem TLP mampu mengurangkan penggunaan keluli tanpa menjejaskan kekuatan struktur, selain mengurangkan keluasan kawasan laut yang diperlukan untuk pemasangan kemudahan tersebut.
Republik Rakyat China memiliki sumber tenaga angin laut dalam yang melimpah dan dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan kapasiti tenaga angin luar pesisir pada masa hadapan. Projek ini dianggarkan dapat menjimatkan 15,000 meter padu minyak bahan api serta mengurangkan pelepasan 35,000 tan karbon dioksida setiap tahun. - ©XINHUA