REPUBLIK SINGAPURA, 13 Ogos. - Pihak berkuasa Republik Singapura telah menurunkan lebih 500 laman sesawang palsu yang menyamar sebagai Kementerian Dalam Negeri (MHA) dan tujuh agensi “Home Team”, menurut kementerian itu.
Agensi terjejas ialah Pasukan Polis Singapura (SPF), Biro Narkotik Pusat (CNB), Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), Perkhidmatan Penjara Singapura (SPS), Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) dan Akademi Home Team (HTA).
MHA dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya hari ini memaklumkan HTX mengesan dan mengenal pasti laman sesawang itu pada 10 Ogos serta memadam kesemua platform itu selewat-lewatnya pada 11 Ogos.
Menurut kementerian itu, laman sesawang palsu berkenaan meniru penjenamaan rasmi dan kandungan yang tersedia secara umum daripada laman sesawang kementerian dan agensi Home Team yang terjejas serta berkemungkinan mengelirukan orang ramai dan menyebabkan mereka percaya bahawa mereka sedang mengakses laman sesawang rasmi MHA atau agensi Home Team.
“Berdasarkan siasatan setakat ini, tiada bukti bahawa laman sesawang palsu itu digunakan untuk melakukan penipuan atau pancingan data bagi mendapatkan maklumat daripada orang ramai.
"Tiada juga bukti bahawa sistem MHA atau agensi Home Team telah dikompromi atau diakses tanpa kebenaran," menurut MHA pada Rabu.
MHA menekankan bahawa kementerian itu akan terus memantau keadaan dengan teliti dan bekerjasama dengan agensi dan rakan kongsi berkaitan untuk mengenal pasti dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana laman sesawang yang menyamar sebagai agensinya. - ©BERNAMA