Serpihan enjin pecahkan tingkap pesawat Ryanair, penumpang hampir tersedut keluar - Siasatan

14 Og 2026 - 10:59am

ISTANBUL, 14 Ogos. - Serpihan enjin menembusi tingkap kabin pesawat Ryanair dalam penerbangan dari Thessaloniki ke Munich bulan lepas, menyebabkan seorang penumpang hampir tersedut keluar sebelum berjaya ditarik semula oleh penumpang lain, menurut dapatan siasatan.

Menurut Anadolu Ajansi, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) Amerika Syarikat (AS) dalam satu laporan pada Khamis memaklumkan bahawa penerbangan Malta Air, yang dikendalikan sebagai Ryanair, mengalami kerosakan bilah kipas pada enjin sebelah kanannya ketika berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Thessaloniki di Greece.

Penyelidik mendapati bahawa kerosakan bilah kipas berkenaan telah melontarkan serpihan enjin ke dalam badan pesawat dan penstabil mendatar sebelah kanan.

"Bahagian bertekanan pada badan pesawat telah ditembusi menerusi tingkap kabin penumpang di baris 11, serta permukaan badan pesawat bahagian bawah di belakang kepingan penutup penyesuai sayap ke badan sebelah kanan," menurut laporan itu.

Penyelidik mendapati bahawa penumpang yang duduk di kerusi 11F ‘tersepit separuh badan pada tingkap kabin yang rosak, dan keseluruhan bingkai tingkap berkenaan telah hilang’.

Penumpang lain membantu menarik penumpang yang cedera itu kembali ke dalam kabin, menurut laporan berkenaan.

Pasukan penyiasat turut menemukan bangkai burung, termasuk bulu, di beberapa bahagian enjin.

Insiden pada Julai itu menyebabkan penumpang berkenaan mengalami kecederaan, manakala pesawat berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamat di Thessaloniki. - ©BERNAMA