SUKMA 2026 : Selangor sapu dua emas bola keranjang 3X3

13 Og 2026 - 10:45am

KLANG, 13 Ogos. - Tuan rumah memulakan kempen kutipan pingat Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 dengan dua pingat emas acara bola keranjang 3x3, masing-masing menerusi pasukan lelaki dan wanita yang berlangsung di Dewan Bola Keranjang Bukit Tinggi, hari ini.

Skuad wanita Selangor berpesta jaringan apabila menewaskan Wilayah Persekutuan (WiPers) 21-4 dalam aksi final, manakala gangsa menjadi milik Negeri Sembilan yang mengecewakan Johor 16-12.

Kapten pasukan wanita Selangor Elaine Chong Hui Lin berkata kejayaan mara ke final serta misi mempertahankan emas bukan mudah biarpun beraksi di laman sendiri.

"Ikutkan edisi kali ini lebih sukar walaupun kami berjaya meraih emas di Sarawak pada edisi lepas.

"Wakil negeri lain memberikan saingan sengit, jadi kami sangat gembira dengan kejayaan ini," katanya ketika ditemui.

Selangor meneruskan dominasi apabila menafikan cabaran skuad lelaki WiPers dengan kemenangan 21-13 untuk menyapu pingat emas kedua ditawarkan dalam acara bola keranjang 3x3 edisi kali ini.

Kapten pasukan lelaki Selangor Yap Zen Haw berharap momentum kemenangan itu dapat diteruskan dalam acara 5x5 yang membuka tirai esok.

"Acara 5x5 merupakan penampilan pertama saya dalam SUKMA, jadi saya akan cuba untuk turut menambah emas," katanya.

Kejayaan itu menyaksikan Selangor mempertahankan dua pingat emas dimenangi pada edisi lepas di Sarawak.

Sementara itu, Negeri Sembilan sekali lagi meraih gangsa selepas menewaskan Johor 21-19 dalam penentuan tempat ketiga kategori lelaki. - ©BERNAMA