Taufan kuat hampiri Okinawa, Kumamoto yang dilanda gempa bumi, risiko tanah runtuh

7 Og 2026 - 7:29am

TOKYO, 7 Ogos. - Taufan kuat bergerak ke arah barat menghampiri kepulauan barat daya Jepun pada Jumaat, dengan agensi meteorologi negara itu mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang di wilayah Okinawa, Amami dan selatan Kyushu sehingga hujung minggu, lapor Kyodo News.

Wilayah Kumamoto, yang dilanda gempa bumi 7.1 magnitud minggu lepas, dijangka mengalami angin kencang dan hujan lebat dari Jumaat hingga Sabtu.

Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran mengenai kemungkinan kejadian tanah runtuh berikutan keadaan tanah yang masih tidak stabil selepas gempa bumi itu.

Jumlah taburan hujan dalam tempoh 24 jam sehingga tengah hari Sabtu dijangka mencecah 200 milimeter (mm) di wilayah Okinawa dan Amami, manakala sehingga 180mm di selatan Kyushu, pulau paling selatan daripada empat pulau utama Jepun.

Sehingga 2 petang Jumaat, Taufan Dolphin, taufan ke-13 yang melanda Jepun tahun ini, bergerak ke arah barat daya pada kelajuan 25 kilometer sejam (km/j) berhampiran Nago di Wilayah Okinawa.

Taufan itu mempunyai tekanan atmosfera 940 hektopaskal (hPa) di pusatnya serta membawa tiupan angin sehingga 198km/j. - ©BERNAMA