Ukraine mesti bayar ganti rugi susulan serangan ke atas kapal Iran

20 Og 2026 - 11:22am

MOSCOW, 20 Ogos. - Duta Iran ke Rusia menggesa Ukraine membayar ganti rugi bagi segala kerugian akibat serangan dronnya ke atas kapal dagang Iran, Anna di Laut Kaspia yang mengorbankan seorang anak kapal dan mencederakan beberapa yang lain.

Menurut Agensi Berita Republik Islam (IRNA), Kazem Jalali memberitahu agensi berita Rusia RIA Novosti pada Rabu bahawa serangan itu adalah "tindakan pengganas dan jenayah" yang menyasarkan kapal awam membawa kargo komersial di bawah bendera Iran.

Beliau berkata serangan itu dilakukan dengan sengaja terhadap sebuah kapal awam yang membawa kargo komersial di bawah bendera Iran.

Jalali berkata Menteri Luar Abbas Araghchi telah membincangkan insiden itu menerusi panggilan telefon dengan rakan sejawatnya dari Rusia Sergey Lavrov dan ketua dasar luar Kesatuan Eropah (EU), manakala Menteri Luar Ukraine memohon maaf serta memberikan penjelasan dalam perbualan telefon dengan Araghchi.

Beliau berkata negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS), sebagai penyokong Ukraine, juga perlu menerima tanggungjawab serta memastikan Kyiv dipertanggungjawabkan atas tindakannya.

Duta itu berkata pegawai Ukraine telah menerima tanggungjawab atas serangan berkenaan dan berjanji bahawa serangan seumpama itu ke atas kapal Iran tidak akan berulang. Kapal milik persendirian Anna diserang oleh dron Ukraine di Laut Kaspia pada 11 Julai lepas. - ©BERNAMA