Zuckerberg beri amaran risiko AI dikuasai segelintir pihak

11 Og 2026 - 11:09am

WASHINGTON, 11 Ogos. - Ketua Pegawai Eksekutif Meta Mark Zuckerberg pada Isnin berkata akses kepada kecerdasan buatan (AI) untuk semua penting bagi memastikan masa depan yang positif, manakala penguasaan teknologi itu oleh segelintir pihak boleh menimbulkan ancaman sebenar, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Laluan terbaik dan paling realistik untuk membina masa depan AI yang positif ialah dengan menyediakan kecerdasan super kepada semua. 

"Namun, jika kuasa kecerdasan super dikuasai oleh segelintir individu, syarikat, kerajaan atau AI itu sendiri, keadaan itu secara semula jadi akan membawa kepada hasil yang kurang memihak kepada pihak lain,” tulis Zuckerberg di laman sesawang Meta.

Beliau berkata tiada penyelesaian teknologi yang mampu memenuhi kepentingan dan nilai berbeza yang saling bercanggah pada masa sama, manakala sebarang “kecerdasan super tunggal” terpaksa mengutamakan sesetengah nilai berbanding yang lain.

Sehubungan itu, Zuckerberg mencadangkan isu berkenaan dilihat dari sudut keseimbangan kuasa dengan memastikan semua pihak mempunyai akses kepada AI.

Beliau turut berkata AI akan menjadi alat untuk membangunkan perniagaan dan menyumbang kepada ekonomi yang lebih berteraskan keusahawanan.

Menurutnya, AI kini membolehkan orang ramai mengembangkan idea secara bebas tanpa memerlukan pembiayaan luar atau pasukan besar dan perkembangan itu akhirnya dijangka mewujudkan lebih banyak pekerjaan.

Zuckerberg berkata AI juga akan membantu mempercepat penyelidikan dalam pelbagai bidang sains termasuk biologi serta membawa kepada penemuan baharu. - ©BERNAMA