Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Bismillaahir Rahmaanir Raheem,
Alhamdulillah Rabbil 'Alameen Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Waddeen, Wassalaamu 'Ala Asyrafil Mursaleen, Sayyidina Muhammadin, Wa'alaa Aalihee Wasahbiee Ajma'een, Waba'du.
BERSYUKUR kita ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala, kerana dapat hadir pada pagi ini untuk meraikan Sambutan Jubli Emas Penubuhan Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (RPK ABDB).
Pasukan bermula pada tahun 1976 cuma seramai dua puluh empat (24) anak tempatan sahaja. 'River Sqaudron' terus berkembang sehingga menjadi sebuah pasukan elit. Beta gembira menyaksikan perbarisan RPK ABDB pada pagi ini, dalam usianya mencecah setengah abad.
Mengambil sukut baik hari yang bersejarah ini, beta dengan sukacita mengurniakan Pingat Jubli Emas RPK ABDB kepada semua anggota RPK yang masih berkhidmat.
Dalam Kertas Putih Pertahanan Kemaskini 2026, telah menekankan Landskap Sekuriti Rantau dan Antarabangsa yang semakin tidak menentu. la juga turut memberi kesan kepada negara. Selaku negara berdaulat, untuk memiliki kekuatan tentera tidaklah boleh dipandang ringan. Selain kekuatan diplomasi, sistem pertahanan yang kukuh juga adalah menjadi keutamaan.
Beta ingin melihat RPK ABDB mengambil peluang melalui hubungan diplomasi dengan negara-negara lain untuk menggunakan teknologi terkini dalam bidang ketenteraan. Beta juga bangga dengan penglibatan RPK ABDB dalam perlawanan-perlawanan pasukan khas di luar negara. Hendaknya dari perlawanan-perlawanan ini RPK ABDB akan dapat mencapai keupayaan, setanding dengan pasukan-pasukan antarabangsa.
RPK ABDB adalah aset strategik pertahanan negara. Ia hendaklah dipelihara dengan penuh keikhlasan dan integriti melalui Ikrar Rejimen Pasukan Khas yang baru dilaungkan sebentar tadi.
Beta ingin melihat, melalui Diplomasi Pertahanan, supaya RPK ABDB akan terus bekerjasama dengan pasukan khas negara- negara sahabat. Dengan adanya latihan bersama dan perkongsian kemahiran operasi khas terkini, maka beta yakin RPK akan mempunyai tahap kemahiran tempur yang sentiasa tinggi.
Mengenai dengan peningkatan kemahiran operasi khas ini, beta adalah mengambil maklum perasmian bangunan baharu dan moden Kompleks Tempur Rapat (Close Quarter Battle Complex) RPK ABDB pada hari ini. Bangunan ini sudah tentu akan memantapkan lagi kemahiran tempur rapat anggota-anggota RPK melalui pelbagai senario latihan mencabar, sesuai dengan evolusi tempur dalam operasi khas.
Pada masa yang sama, Beta juga menggalakkan Rejimen Pasukan Khas untuk sentiasa mengintegrasikan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence). Langkah ini penting bagi memperkasa lagi keupayaan serta kemahiran operasi khas.
Beta menyeru supaya semua anggota Rejimen Pasukan Khas terus menjaga disiplin dan etika kerja, melaksanakan tugas dengan setia dan jujur. Beta mengingatkan juga supaya anggota-anggota Rejimen Pasukan Khas tidak terjerumus ke dalam kegiatan-kegiatan jenayah dan elemen-elemen negatif yang boleh menjejaskan imej dan reputasi RPK dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei secara menyeluruh.
Dalam suasana meraikan Hari Jubli Emas RPK ABDB pagi ini, beta juga gembira melihat kehadiran mantan-mantan pemimpin dan anggota Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Kehadiran mereka ini turut mencerminkan sokongan dan komitmen yang berterusan dalam sama-sama melihat sendiri perkembangan RPK masa kini. Beta ucapkan terima kasih dan penghargaan di atas pengorbanan mereka sebelum ini.
Akhirnya, beta mengucapkan syabas dan tahniah bersempena sambutan Hari Ulang Tahun Jubli Emas Penubuhan Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei kepada seluruh warga RPK yang masih berkhidmat dan mereka yang telah bersara. Tidak lupa juga, penghargaan kepada semua Ahli Jawatankuasa Sambutan Jubli Emas atas usaha gigih mereka menjayakan acara bersejarah pada pagi ini. Beta turut mendoakan supaya Rejimen Pasukan Khas Angkatan Bersenjata Diraja Brunei akan terus berjaya dan sentiasa dalam pemeliharaan serta perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala.
Sekian, Wabillahi Taufeq WalHidayah, Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.