Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERAKAS, Khamis, 24 September. - Kecemerlangan dalam bidang pendidikan bukan sahaja tercermin melalui pencapaian akademik, malah turut merangkumi keupayaan guru membimbing, membentuk sahsiah, mengadaptasi perubahan serta memimpin warga sekolah ke arah peningkatan kualiti pendidikan.
Pengiktirafan melalui Anugerah Guru Cemerlang menjadi satu penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi para pendidik yang terus memberikan sumbangan dalam membentuk generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak.
Bagi salah seorang penerima, Awang Mohamad Khanafiah bin Haji Jumat, 48 tahun, yang berkhidmat di Politeknik Brunei dan mengajar dalam bidang Teknologi Maklumat Perdagangan (IT for Business), anugerah berkenaan merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen dan tanggungjawab yang dicurahkan dalam mendidik serta membimbing para pelajar.
Menurutnya, tugas seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah, tetapi turut membentuk keyakinan, kemahiran dan nilai diri pelajar sebagai persediaan menghadapi masa hadapan.
Beliau turut melihat perkembangan teknologi maklumat, khususnya Kecerdasan Buatan (AI), sebagai satu aspek penting yang semakin mempengaruhi kehidupan seharian, pendidikan dan dunia pekerjaan.
Katanya, AI berupaya membantu meningkatkan produktiviti, memudahkan tugasan, menganalisis data dan menyokong proses membuat keputusan.
Dalam bidang pendidikan pula, teknologi berkenaan boleh dimanfaatkan bagi membantu tenaga pengajar menyediakan bahan pengajaran yang lebih menarik serta meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar.
Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa penggunaan AI perlu dilaksanakan secara bijak, beretika dan bertanggungjawab, terutama dalam memastikan ketepatan maklumat serta keselamatan data.
“Sebagai pendidik, kita perlu sentiasa memperbaiki kaedah pengajaran, mengintegrasikan IT dan AI secara beretika serta menjadi contoh yang baik kepada pelajar,” ujarnya.
Beliau turut menyifatkan anugerah tersebut sebagai satu amanah untuk terus memperbaiki diri, meningkatkan kualiti pengajaran serta memberikan sumbangan yang lebih bermakna kepada pelajar, rakan sekerja dan institusi.
Manakala, bagi Dayang Hajah Siti Noor Dzuhairah binti Awang Haji Damit, yang berkhidmat di Sekolah Ugama Delima Satu dan mengajar mata pelajaran tajwid, mengongsikan Anugerah Guru Cemerlang amat bermakna kerana menjadi tanda pengiktirafan terhadap usaha, komitmen dan keikhlasan dalam mendidik anak-anak murid.
Menurutnya, kejayaan seorang guru bukan hanya diukur melalui pencapaian akademik, tetapi juga melalui perubahan positif dalam diri murid yang dibimbing.
Sebagai pendidik dalam bidang Pengajian Islam, beliau sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan pengajaran dan pembelajaran, di samping menerapkan nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian.
“Penerapan nilai-nilai Islam bukan hanya dari aspek pengetahuan, tetapi juga penghayatan dan amalan,” katanya.
Beliau turut memanfaatkan teknologi dan bahan bantu mengajar yang bersesuaian bagi menjadikan pembelajaran lebih interaktif dan mudah difahami.
Katanya, kecemerlangan pengajaran turut dapat dilihat melalui perubahan sikap, akhlak, penghayatan dan kemampuan murid mengamalkan ilmu yang dipelajari.
Sehubungan itu, beliau sentiasa membuat refleksi dan penambahbaikan terhadap kaedah pengajaran agar pendidikan Islam yang disampaikan kekal berkualiti, relevan dan memberikan impak kepada murid.
Sementara itu, Guru Besar Sunshine School, Tan Lay Kim, 60 tahun, melihat pengiktirafan yang diterimanya sebagai pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan kepimpinan sekolah.
Beliau berhasrat untuk terus berkongsi amalan terbaik, membimbing sekolah-sekolah lain serta membantu melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis dalam kalangan guru.
Antara bidang yang ingin terus diterokai dan diperkukuhkan ialah kepimpinan digital serta transformasi dan inovasi, khususnya dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik (STEAM).
Menurut beliau, para guru perlu diberikan galakan untuk mengadaptasi teknologi baharu, bukan sahaja dalam proses pengajaran dan pembelajaran, malah dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Dalam memperkukuh kepimpinan sekolah, beliau turut menekankan kepentingan mewujudkan persekitaran kerja yang positif dan menyokong kesejahteraan warga pendidik.
“Sebagai seorang pemimpin, kita mesti bersifat empati. Selain itu, kita perlu mewujudkan persekitaran sekolah yang menggembirakan supaya guru berasa senang untuk datang ke sekolah dan mengajar anak-anak,” jelasnya.
Beliau turut menyarankan agar pelbagai bentuk penghargaan dan insentif diberikan kepada guru, termasuk kelonggaran waktu selepas melaksanakan aktiviti yang memenatkan, di samping aktiviti bina semangat berpasukan dan penghargaan pada setiap semester atau hujung tahun.
Menurutnya, penghargaan dan apresiasi terhadap guru dapat membantu mewujudkan suasana kerja yang lebih positif serta meningkatkan motivasi dalam kalangan warga pendidik.
Beliau seterusnya menasihatkan para guru agar sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kemahiran, mempunyai keupayaan memahami serta berempati terhadap keperluan orang lain, di samping sentiasa mengemas kini pengetahuan mengenai teknologi, kaedah pengajaran, pendekatan dan pedagogi.
“Guru perlu berpengetahuan, mempunyai empati dan bersemangat dalam bidang masing-masing. Kita juga perlu sentiasa berkongsi ilmu serta mengemas kini pengetahuan mengenai teknologi terkini, kaedah pengajaran, pendekatan dan pedagogi,” ujarnya.
Ketiga-tiga pendidik tersebut turut menekankan bahawa kecemerlangan dalam pendidikan merupakan satu proses berterusan yang memerlukan komitmen, pembelajaran sepanjang hayat, kesediaan menerima perubahan serta keikhlasan dalam melaksanakan amanah.
Pengiktirafan yang diterima bukan sekadar meraikan pencapaian individu, malah menjadi dorongan untuk terus berkongsi ilmu, memperkukuh amalan pendidikan dan kepimpinan serta memberikan impak positif kepada pelajar, warga pendidik dan institusi, selaras dengan usaha berterusan meningkatkan mutu pendidikan negara.