Siaran Akhbar dan Foto : Nuqra Math Learning Centre
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Nuqra Math dengan kerjasama CheMan Congak Math baru-baru ini menganjurkan Bengkel Genius Sifir Tour 3.0 : Mental Multiplication Enrichment di Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin yang menghimpunkan kira-kira 400 peserta, terdiri daripada ibu bapa serta murid Tahun 3 hingga Tahun 6.
Program yang disampaikan oleh CheMan Congak Math ini bertujuan memperkenalkan teknik penguasaan sifir dan pengiraan mental yang lebih mudah, pantas dan praktikal kepada para peserta. Penguasaan kemahiran asas ini penting dalam membantu murid membina keyakinan serta meningkatkan kecekapan mereka dalam menyelesaikan pengiraan matematik.
Sepanjang sesi berlangsung, para peserta didedahkan kepada teknik Mental Multiplication yang membantu mereka memahami dan menguasai pendaraban secara lebih tersusun dan menyeronokkan. Pendekatan interaktif yang digunakan turut memberi peluang kepada para peserta untuk mencuba sendiri teknik yang dikongsikan sepanjang program.
Penganjuran Bengkel Genius Sifir Tour 3.0 ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Nuqra Math dan Congak Math Brunei dalam memperkukuh asas matematik dalam kalangan murid, khususnya melalui penguasaan sifir dan kemahiran mengira secara mental.
Nuqra Math merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak pentadbiran Sekolah Rendah Pengiran Setia Jaya Pengiran Abdul Momin, para guru serta semua pihak yang terlibat atas sokongan dan kerjasama yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Diharapkan kerjasama seperti ini dapat diteruskan dalam usaha bersama meningkatkan keyakinan serta penguasaan matematik dalam kalangan murid sekolah rendah.