Siaran Akhbar dan Foto: Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 September. – Bengkel Strategik Pelan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) 2026–2033 yang berlangsung selama tiga hari berakhir hari ini dengan Majlis Penangguhan Bengkel, menandakan berakhirnya sesi perbincangan dan perancangan strategik bagi membentuk hala tuju PPNBD untuk tahun-tahun mendatang.
Bengkel yang berlangsung dari 24 hingga 26 September 2026 di Bilik Persidangan, Tingkat 4, Ibu Pejabat PPNBD menghimpunkan barisan kepimpinan dan pemimpin Pengakap untuk menilai kedudukan semasa organisasi serta membincangkan hala tuju strategik PPNBD.
Majlis Penangguhan Bengkel telah disempurnakan oleh Yang Dipertua PPNBD, ACP (B) Haji Murad bin Haji Abd Hadi.
Turut hadir, Ahli-ahli Majlis Pengakap Kebangsaan, Pesuruhjaya-pesuruhjaya serta para peserta bengkel.
Dalam sesi rumusan bengkel, Ketua Pesuruhjaya PPNBD merangkap Pengarah Bengkel, Awang Haji Junaidi bin Haji Hussin menyampaikan rumusan mengenai perbincangan dan hasil yang dicapai sepanjang tiga hari bengkel.
Antara perkara yang disentuh termasuk visi PPNBD serta beberapa keutamaan strategik yang telah dibincangkan dan akan diusulkan kepada Majlis Pengakap Kebangsaan untuk pertimbangan selanjutnya.
Bengkel ini memberi ruang kepada para peserta untuk menilai semula pencapaian dan kedudukan semasa PPNBD, mengenal pasti isu serta cabaran strategik, dan membincangkan keutamaan yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan pergerakan Pengakap terus berkembang, relevan dan bersedia menghadapi perubahan masa hadapan.
Perbincangan turut merangkumi aspek hala tuju organisasi, pembangunan kepimpinan, penglibatan golongan muda, pengukuhan kerjasama dan jaringan strategik, transformasi digital serta komunikasi dan penjenamaan PPNBD.
Hasil perbincangan tersebut akan menjadi antara asas kepada penyediaan Draf Pelan Strategik PPNBD 2026–2033, yang seterusnya akan diusulkan kepada Majlis Pengakap Kebangsaan untuk pertimbangan dan kelulusan.
Majlis Penangguhan Bengkel turut menyaksikan ucapan daripada wakil peserta, Awangku Shariffuddin @ Awangku Muhd Shahfwan bin Pengiran Damit daripada Pasukan Pengakap Kelana 1102, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA).
Ucapan tersebut mengetengahkan pengalaman dan pandangan beliau sepanjang menyertai bengkel, di samping menzahirkan penghargaan terhadap peluang untuk para peserta menyumbangkan pandangan dan idea dalam proses perancangan strategik PPNBD.
Majlis turut diserikan dengan tayangan video yang merakamkan perjalanan, perbincangan serta detik-detik sepanjang pelaksanaan Bengkel Strategik Pelan PPNBD 2026–2033. Sebagai penghargaan atas penyertaan dan komitmen para peserta sepanjang bengkel, majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sijil kepada para peserta.
Bengkel ini bukan sekadar menjadi ruang perbincangan mengenai hala tuju organisasi, malah menjadi platform untuk menghimpunkan pelbagai pandangan dan pengalaman daripada kepimpinan serta pemimpin Pengakap dalam membentuk satu hala tuju bersama.
Dengan berakhirnya bengkel ini, usaha seterusnya akan memberi tumpuan kepada pemurnian hasil perbincangan serta penyediaan Draf Pelan Strategik PPNBD 2026–2033 untuk dibawa ke peringkat seterusnya.
Berteraskan tema ‘Bersama Merancang, Melangkah Lebih Jauh’, PPNBD kini melangkah ke fasa seterusnya dengan aspirasi untuk membina sebuah organisasi yang lebih strategik, bersepadu dan bersedia menghadapi masa hadapan.