Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad
Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said
GADONG, Khamis, 24 September. - Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) hari ini mengadakan Bengkel Strategik Pelan PPNBD 2027-2032, sebagai langkah penting dalam menetapkan hala tuju strategik dan keutamaan pembangunan organisasi bagi tempoh enam tahun akan datang.
Bengkel yang berlangsung selama tiga hari itu bermula hari ini hingga 26 September 2026, di Bilik Persidangan, Tingkat 4, Ibu Pejabat PPNBD.
Sehubungan itu, majlis perasmian bengkel telah diadakan pagi tadi dan disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap, Kementerian Pendidikan, Dr. Eddy Fadzlin bin Haji Amdan selaku tetamu kehormat.
Bengkel dipimpin oleh Ketua Pesuruhjaya PPNBD, Awang Haji Junaidi bin Haji Hussin, selaku Pengarah Bengkel.
Dalam ucapan alu-aluannya, Awang Haji Junaidi menekankan bahawa bengkel tersebut bukan sekadar satu sesi perbincangan, tetapi merupakan wadah untuk menilai semula pencapaian dan kelemahan PPNBD, menyelaraskan visi, misi serta nilai bersama, dan seterusnya merangka strategi yang kreatif, realistik dan berimpak bagi pembangunan organisasi.
Beliau turut mengetengahkan tema bengkel, 'Bersama Merancang, Melangkah Lebih Jauh', yang mencerminkan hasrat PPNBD untuk bersama-sama menentukan arah tuju organisasi dalam menghadapi perubahan dan cabaran baharu, di samping memanfaatkan peluang yang ada.
Menurutnya, kejayaan pelan strategik yang bakal dihasilkan tidak bergantung kepada seorang individu sahaja, sebaliknya memerlukan kepakaran, pandangan yang telus serta pemikiran di luar kotak daripada setiap fungsi yang terlibat.
Beliau turut menyeru agar para peserta mengambil bahagian secara aktif, berani menyumbangkan idea dan terbuka menerima pandangan demi kebaikan PPNBD.
Bengkel merupakan sebahagian daripada usaha PPNBD untuk melaksanakan proses perancangan strategik yang menyeluruh, tersusun dan berpandangan jauh dalam memperkukuh kedudukan organisasi serta memastikan pergerakan pengakap di Negara Brunei Darussalam (NBD) terus berkembang selaras dengan keperluan semasa dan aspirasi masa hadapan.
Sepanjang bengkel, para peserta akan menilai pencapaian, prestasi dan kedudukan semasa PPNBD, termasuk mengenal pasti kekuatan, kelemahan, peluang dan cabaran yang mempengaruhi pembangunan organisasi.
Perbincangan turut memberi tumpuan kepada semakan dan pengukuhan visi, misi serta nilai-nilai teras PPNBD, di samping mengenal pasti isu-isu strategik yang perlu diberikan keutamaan bagi memastikan pembangunan organisasi yang lebih mampan, efektif dan berdaya tahan.
Antara hasil utama yang disasarkan ialah pembentukan teras-teras strategik PPNBD bagi tempoh 2027-2032, berserta objektif strategik, strategi dan inisiatif utama yang jelas, realistik serta boleh dilaksanakan.
Bagi memastikan pelaksanaan Pelan Strategik dapat dipantau dan dinilai secara berkesan, bengkel ini turut memberi perhatian kepada pembangunan Petunjuk Prestasi Utama (Key Performance Indicators - KPI) serta sasaran pencapaian yang boleh diukur.
Selain itu, para peserta akan membangunkan pelan tindakan dan pelan hala tuju (roadmap) yang sistematik bagi memastikan setiap strategi dapat dilaksanakan berdasarkan keutamaan serta tempoh yang telah ditetapkan.
Bengkel yang melibatkan kira-kira 60 orang peserta ini turut menghimpunkan wakil dari Majlis Pengakap Kebangsaan PPNBD, Majlis Eksekutif Kebangsaan, Majlis Pesuruhjaya Kebangsaan PPNBD, keempat-empat Majlis Persatuan Pengakap Daerah serta Sekretariat Pengakap Kelana Kebangsaan.
Sepanjang tiga hari pelaksanaan, bengkel tersebut merangkumi 15 sesi perbincangan, yang bermula dengan penilaian dan perancangan strategik sehingga kepada sesi 'Commitment & Strategic Confirmation'.
Proses perancangan ini turut menekankan kepentingan komitmen, kesepakatan dan rasa pemilikan (ownership) dalam kalangan kepimpinan PPNBD.
Pendekatan tersebut diharap dapat memastikan pelan yang dibangunkan bukan sahaja menjadi dokumen strategik, tetapi dapat diterjemahkan kepada tindakan dan hasil yang nyata dalam pembangunan organisasi.
Bengkel seterusnya akan menghasilkan Draf Pelan Strategik PPNBD 2027-2032 yang komprehensif untuk dipertimbangkan dan diluluskan oleh Majlis Pengakap Kebangsaan sebelum dijadikan sebagai dokumen rasmi organisasi.
Pelan Strategik tersebut akan menjadi panduan utama PPNBD dalam menentukan keutamaan, menetapkan sasaran serta menyelaraskan pelbagai usaha pembangunan organisasi sepanjang tempoh 2027 hingga 2032.
Melalui perancangan strategik ini, PPNBD terus komited untuk memperkukuh tadbir urus dan kapasiti organisasi, memperkasa kepimpinan serta memastikan pergerakan pengakap terus memberikan pengalaman dan peluang pembangunan yang bermakna kepada golongan muda di NBD.
Bengkel Strategik Pelan PPNBD 2027-2032 ini mencerminkan komitmen PPNBD untuk terus melihat ke hadapan, menyesuaikan organisasi dengan perubahan semasa serta membina asas yang kukuh bagi kesinambungan dan pembangunan pergerakan pengakap di NBD.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Awang Julaihi bin Mohamad; Wakil Pengarah Jabatan Sekolah-Sekolah; Yang Dipertua PPNBD, ACP (B) Haji Murad bin Haji Abd. Hadi; Ahli-ahli Majlis Pengakap Kebangsaan, pesuruhjaya-pesuruhjaya serta para peserta bengkel.