Berita dan Foto : Siti Rokiah Abdullah
BERAKAS, Khamis, 24 September. - Dedikasi dan komitmen berterusan para pendidik dalam meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran menjadi antara asas penting dalam melahirkan generasi pelajar yang berilmu, beriman dan berakhlak mulia.
Perkara berkenaan dizahirkan oleh penerima Anugerah Penghargaan Hari Guru (Special Mention), Pengiran Haji Mohammad Norhadi bin Pengiran Haji Bongsu, guru di Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha (SUAMPRIPAHS) yang mengajar mata pelajaran Tarikh Islam dan Al-Quran semasa di temu bual Pelita Brunei pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-36, Tahun 2026 baru-baru ini, di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC).
Menurutnya lagi, anugerah yang diterima bukan sekadar satu bentuk pengiktirafan, malah merupakan amanah dan pemangkin untuk terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelajar.
"Bagi saya, anugerah ini merupakan satu amanah dan pemangkin untuk saya terus memberikan perkhidmatan yang lebih baik. Ia bukan bermakna saya sudah mencapai tahap yang sempurna, tetapi sebaliknya mengingatkan saya supaya terus belajar, memperbaiki diri dan meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran," jelasnya.
Pengiran Haji Mohammad Norhadi mula berkhidmat sebagai guru pada 2015 dan percaya bahawa seorang pendidik perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan serta kemahiran bagi memastikan proses pembelajaran kekal relevan dengan keperluan semasa.
Beliau turut menekankan bahawa guru tidak boleh berhenti belajar, sebaliknya perlu sentiasa mengikuti perkembangan pendidikan, menerima teguran dan pandangan serta meneroka pendekatan baharu yang dapat membantu para pelajar memahami dan menghayati ilmu yang disampaikan.
Dalam pengajaran Tarikh Islam, beliau berusaha memastikan para pelajar bukan sahaja mengingati fakta dan peristiwa sejarah, tetapi turut memahami ‘ibrah’ serta mengambil pengajaran yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.
"Begitu juga dalam pembelajaran Al-Quran, pendekatan pengajaran tidak hanya tertumpu kepada kebolehan membaca dan menghafaz, tetapi turut menekankan aspek pemahaman, penghayatan dan pengamalan ajaran yang terkandung di dalamnya.
"Bagi saya, kecemerlangan sebenar pengajian Islam bukan hanya apabila pelajar mendapat keputusan yang baik, tetapi apabila ilmu yang dipelajari dapat dilihat melalui akhlak, adab dan amalan mereka. Itulah yang saya harapkan daripada pendidikan Islam, ilmu yang dipelajari menjadi panduan dalam kehidupan," ujarnya lagi.
Dalam memastikan pengajaran dan pembelajaran terus mencapai kecemerlangan, Pengiran Haji Mohammad Norhadi turut melihat kepentingan penggunaan pendekatan yang lebih kreatif dan bersesuaian dengan generasi pelajar masa kini, termasuk memanfaatkan teknologi dalam proses pembelajaran.
Menurutnya, perkembangan pengajian Islam perlu bergerak seiring dengan perkembangan pendidikan semasa, namun asas ilmu dan nilai-nilai Islam tetap perlu dipertahankan.
Beliau juga berharap perkhidmatan sebagai guru Tarikh Islam dan Al-Quran bukan hanya dapat membantu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam akademik, malah membentuk generasi yang berilmu, beriman dan mempunyai akhlak yang mulia.
Sementara itu, Dayang Normayah binti Haji Abdul Rahman, dari Sekolah Ugama Pengiran Muda Mohammed Bolkiah yang mengajar Amali Ugama bagi keperluan khas, turut melihat penghargaan yang diterima sebagai sesuatu yang mempunyai makna mendalam terhadap kerjaya dan jiwa seorang pendidik.
Jelasnya lagi, anugerah bukan sekadar pengiktirafan di atas kertas atau trofi, tetapi menjadi satu bentuk penghargaan terhadap usaha dan dedikasi yang dicurahkan dalam mendidik para pelajar.
Pengiktirafan sedemikian tambahnya, dapat menjadi motivasi kepada guru untuk terus memberikan yang terbaik, selain menyuntik keyakinan dan dorongan untuk meningkatkan prestasi serta mutu perkhidmatan.
"Dedikasi para pendidik, khususnya dalam menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keperluan pelajar yang pelbagai, mencerminkan komitmen berterusan warga pendidik dalam memastikan setiap pelajar mendapat peluang untuk berkembang dan mencapai potensi masing-masing.
"Usaha tersebut selaras dengan aspirasi pendidikan yang bukan sahaja menitikberatkan pencapaian akademik, tetapi turut memberi penekanan terhadap pembentukan sahsiah, nilai murni dan kemahiran yang diperlukan dalam kehidupan," ujarnya lagi.
Justeru, Dayang Normayah berkata pengiktirafan sempena Sambutan Hari Guru menjadi pemangkin kepada para pendidik untuk terus memperkukuh kualiti pengajaran, memperbaharui pendekatan pembelajaran dan mencurahkan khidmat dengan penuh keikhlasan demi kejayaan serta masa depan para pelajar.