Siaran Akhbar dan Foto : Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 25 September. - Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (MDPMAMB) baru-baru ini telah mengadakan Majlis Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, Sembahyang Sunat Hajat, Bacaan Surah Yaa Siin dan Doa Selamat di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, khusus bagi para pelajar Tingkatan Enam Bawah dan Tingkatan Enam Atas yang akan menduduki Peperiksaan Brunei Peringkat 'AS' dan 'A' bagi Sesi Oktober/November 2026.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh kira-kira 250 pelajar yang beragama Islam bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing.
Pengetua MDPMAMB, Dayangku Hajah Nooramaliatifah binti Pengiran Haji Ahmad, ahli-ahli Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang dijemput, serta tenaga pengajar dan kakitangan maktab turut hadir bagi bersama-sama merafakkan doa untuk kejayaan para pelajar dalam peperiksaan yang akan datang.
Majlis dimulakan dengan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, diikuti dengan Sembahyang Sunat Hajat dan bacaan Surah Yaa Siin yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdullah.
Seterusnya, Doa Khas dibacakan oleh Pensyarah Usuluddin dari Jabatan Pengajian Islam, MDPMAMB, Awang Haji Mohammad Shafiee bin Haji Japar.
Majlis diakhiri dengan Sembahyang Fardu Isyak Berjemaah.
Majlis berkenaan diadakan sebagai salah satu bentuk persediaan kerohanian bagi para pelajar, di samping memberikan sokongan dan dorongan kepada mereka dalam menghadapi peperiksaan yang bakal berlangsung.
Melalui majlis berkenaan, warga maktab bersama ibu bapa dan penjaga turut mendoakan agar para pelajar diberikan ketenangan, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan kejayaan dalam Peperiksaan Peringkat 'AS' dan 'A' bagi Sesi Oktober/November 2026.