Emiral Duo juara Pertandingan Vibe Duo

27 Sep 2026 - 3:19am

Oleh : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin

Foto : Hernie Suliana Haji Othman

BERAKAS, Sabtu, 26 September. - Emiral Duo muncul juara pertandingan nyanyian Vibe Duo, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai BND3,000 berserta trofi, sijil dan sebuah rakaman lagu baharu.

Naib juara disandang oleh NQ Duo, yang membawa pulang wang tunai BND2,500 berserta trofi dan sijil. Sementara itu, Crescenduo menduduki tempat ketiga dan membawa pulang wang tunai BND2,000 berserta trofi dan sijil.

Pertandingan Peringkat Akhir Vibe Duo yang diadakan malam tadi di Dewan Teater, Jabatan Perdana Menteri (JPM), dianjurkan oleh Radio Televisyen Brunei (RTB) bagi menentukan pasangan terbaik dalam pertandingan nyanyian berkonsepkan persembahan secara ‘duo’.

Pada malam yang sama, NQ Duo memenangi persembahan terbaik, sekali gus membawa pulang wang tunai BND1,000 berserta trofi dan sijil.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Urustadbir Perkhidmatan Awam), JPM, Pengiran Haji Raffizanna bin Pengiran Haji Razali.

Juga hadir, Pemangku Pengarah RTB, Cheong Chee Keong; pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan daripada RTB, serta orang ramai.

Vibe Duo merupakan sebuah pertandingan nyanyian yang mengetengahkan konsep persembahan secara berduet dengan menggandingkan penyanyi yang telah berpengalaman dengan penyanyi baharu. 

Pertandingan tersebut menjadi platform bagi mengembangkan bakat dalam bidang seni suara, di samping meningkatkan mutu vokal, penampilan dan persembahan pentas melalui bimbingan mentor.

Seramai 38 pasangan telah tampil menjalani sesi uji bakat, dengan hanya 12 pasangan berjaya dipilih berdasarkan penilaian barisan juri profesional.

Kesemua pasangan terpilih kemudiannya dibahagikan di bawah bimbingan empat orang mentor, iaitu Dila Junaidi, Dayat Ahim, Ezah Hashim dan Andie Othman, yang berperanan memberikan bimbingan dan tunjuk ajar dalam usaha meningkatkan mutu persembahan para peserta.

Setelah melalui beberapa peringkat pertandingan dan sesi penyingkiran, enam pasangan berjaya melangkah ke peringkat akhir untuk bersaing merebut gelaran juara Vibe Duo.

Pada peringkat akhir, para finalis berentap menerusi dua pusingan persembahan, merangkumi lagu pilihan mentor dan lagu pilihan juri.

Pasangan finalis tersebut adalah Dwitara, NQ Duo, Jasmars, Emiral Duo, Crescenduo dan Zaira.

Pertandingan Vibe Duo antara lain bertujuan melahirkan lebih ramai artis tempatan dalam bidang nyanyian berkumpulan serta mengasah bakat baharu menerusi bimbingan dan latihan vokal bagi memperkukuh kemahiran persembahan pentas.

Para penaja terdiri daripada Baiduri Bank Sdn. Bhd., Hua Ho Department Store dan disokong oleh Dboxeo.

Turut membuat persembahan pada rancangan berkenaan ialah artis-artis undangan iaitu Dila Junaidi, Dayat Ahim, Ezah Hashim dan Andie Othman.

Siaran langsung Peringkat Akhir Vibe Duo turut disiarkan menerusi RTB Aneka dan RTBGo bermula pukul 7.50 malam.