Oleh : Nurdiyanah Rajami
Foto : Ihsan DKSH Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September. – DKSH Brunei, penyedia perkhidmatan pergudangan dan pengedaran terkemuka bagi produk farmaseutikal dan peranti perubatan, baru-baru ini telah menyumbang sebanyak BND5,000 kepada Kumpulan Sokongan Kanser Payudara Brunei (Brunei Breast Cancer Support Group - BBCSG) bagi menyokong inisiatif kesedaran kanser payudara dan sokongan pesakit di Negara Brunei Darussalam (NBD).
Sumbangan berkenaan dilaksanakan sempena inisiatif global tahunan DKSH, 'Patient Purpose Day 2026', serta menjelang Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang akan datang.
Selain itu, sumbangan berkenaan juga menandakan bermulanya Sambutan 'Patient Purpose Day 2026', sebahagian daripada inisiatif global tahunan DKSH yang membawa tema tahun ini, iaitu ‘Memacu Kesaksamaan dalam Kesihatan Wanita (Driving Equity in Women's Health).
Inisiatif berkenaan bertujuan untuk menyokong usaha yang diterajui oleh komuniti bagi meningkatkan kesedaran, pendidikan dan akses kepada sokongan kesihatan.
Sumbangan berkenaan akan digunakan untuk menyokong pelbagai aktiviti BBCSG termasuk 'Pink Ribbon Community Walk' dan 'Awareness Event, Patient and Survivor Empowerment Day', penyediaan pakej penjagaan untuk pesakit kanser payudara, aktiviti jangkauan komuniti dan bahan pendidikan serta sokongan sukarelawan dan penganjuran acara.
Cek sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah DKSH Brunei, Pengiran Hajah Sharinah binti Pengiran Dato Paduka Shariffuddin; dan Pengurus Besar DKSH Brunei, Alan Lim kepada Presiden BBCSG, Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin.
Majlis berkenaan turut disaksikan oleh Naib Presiden BBCSG, Dayang Hajah Linda Aini binti Haji Abdullah; dan Bendahari BBCSG, Profesor Madya Dr. Hajah Masrinawati binti Haji Abdul Hamid.
Menurut Alan Lim, Patient Purpose Day mencerminkan budaya DKSH Healthcare yang berteraskan tujuan yang tulen dan bermakna serta pendekatan yang mengutamakan pesakit. Ia juga mencerminkan komitmen mereka untuk menyumbang kepada peningkatan hasil kesihatan bagi komuniti.
"Pada tahun ini, kami meneruskan tumpuan terhadap kesaksamaan dalam kesihatan wanita. Inisiatif ini membuktikan bahawa komitmen kami bukan sekadar menyediakan penyelesaian penjagaan kesihatan, malah turut merangkumi usaha untuk mewujudkan impak yang berkekalan dalam komuniti yang kami berkhidmat.
"Melalui usaha ini, kami terus memperkukuh misi kami untuk menyediakan 'Healthcare for All'," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada aktiviti ‘Patient Purpose Day’ DKSH Brunei yang menyokong usaha meningkatkan kesedaran, menggalakkan pengesanan awal dan menyediakan sokongan bermakna kepada individu serta keluarga yang terjejas akibat kanser payudara.
Melalui 'Patient Purpose Day', DKSH Brunei terus meletakkan pesakit sebagai keutamaan dalam setiap usahanya dengan menyokong akses yang lebih luas kepada penjagaan kesihatan, pendidikan dan sokongan komuniti.
Dengan pengalaman lebih sedekad di NBD, DKSH Brunei terus menjadi rakan kongsi logistik yang dipercayai dalam industri penjagaan kesihatan, menyediakan penyelesaian rantaian bekalan yang mematuhi keperluan kawal selia, boleh dipercayai dan cekap bagi membantu memastikan akses kepada produk perubatan penting di seluruh negara.