Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) terus memperkukuh agenda pengantarabangsaan menerusi Program Jaringan Akademik dan Kerjasama Strategik ke Asia Tengah yang berlangsung di Republik Kazakhstan dan Republik Uzbekistan dari 5 hingga 14 September 2026.
Program ini dilaksanakan sejajar dengan aspirasi UNISSA bagi memperkukuh lagi agenda pengantarabangsaan melalui penyertaan aktif dalam persidangan antarabangsa, jaringan akademik, perbincangan strategik serta kerjasama penyelidikan dan penerbitan dengan institusi pengajian tinggi dan institusi yang berkaitan di peringkat global.
Delegasi tersebut diketuai oleh Penolong Rektor Hal Ehwal Akademik UNISSA, Profesor Dr. Dayang Siti Sara binti Haji Ahmad.
Sebanyak tujuh buah universiti / institusi telah dikunjungi. Kunjungan ini bukan hanya dilaksanakan bagi tujuan penganjuran bersama persidangan dan mini seminar sahaja, bahkan ia merangkumi perbincangan strategik dua hala.
Kunjungan pertama disasarkan kepada dua buah universiti di Al-Maty, Republik Kazakhstan, iaitu Egyptian University of Islamic Culture Nur-Mubarak di Al-Maty, Republik Kazakhstan di mana UNISSA menjadi penganjur bersama International Conference on Wasatiyyah and Hikmah as Foundations of Balanced Islamic Discourse in Contemporary Societies (ICONWAH 2026). Seterusnya delegasi menumpukan kunjungan ke Al-Farabi Kazakh National University (KAZNU).
Program diteruskan di Republik Uzbekistan melalui kunjungan ke empat buah institusi di Tashkent iaitu International Islamic Academy of Uzbekistan (IIAU), Islamic Civilization Centre Uzbekistan (ICCU), Imam Maturidi International Scientific Research Centre (IMISRC) dan Siroj Educational Centre for Arabic Language.
Manakala di Samarkand pula, kunjungan disasarkan kepada Imam Bukhari Research Centre di mana mini seminar secara kolaboratif telah diadakan yang membawa tema 'Sumbangan Imam Al Bukhari di Alam Melayu'.
Delegasi juga seterusnya mengadakan kunjungan ke Memorial Complex of Imam Al-Bukhari yang menempatkan makam Imam Al-Bukhari, masjid besar, institusi mahad, muzium interaktif dan perpustakaan.
Program ini pada hakikatnya telah berjaya merealisasikan objektifnya menerusi kejayaannya menganjurkan persidangan dan mini seminar secara kolaboratif.
Dalam waktu yang sama, berjaya menemukan titik kerjasama dalam bidang-bidang pengkhususan dan kepakaran yang ada di UNISSA dengan institusi-institusi yang terlibat, antaranya Pengajian Islam, Bahasa Arab, Sejarah dan Tamadun Islam, Manuskrip, Pelancongan dan Teknologi.
Perkara ini adalah asas kepada kerjasama yang lebih terarah dan fokus yang meliputi bidang pengajaran, penyelidikan, penerbitan bersama, latihan-latihan, program perkhemahan dan mobiliti akademik pada masa hadapan.
Melalui pelaksanaan program ini, UNISSA terus memperkukuh komitmennya dalam meningkatkan reputasi dan keterlihatan di peringkat global, khususnya di rantau Asia Tengah.
Inisiatif ini turut menyokong usaha universiti dalam memperkasa kualiti pengajaran dan penyelidikan, melestarikan khazanah serta peradaban Islam dan seterusnya memartabatkan wacana Islam yang seimbang serta relevan dengan konteks masyarakat kontemporari.