Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : ihsan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam
MUARA, Selasa, 29 September. – Semangat persaudaraan, keamanan dan tanggungjawab terhadap alam sekitar terus disemarakkan menerusi Program Jalinan Persaudaraan dalam Pengakap anjuran Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) yang telah berlangsung di Pantai Muara di sini.
Program berkenaan diadakan bersempena Sambutan International Day of Peace, World Clean Up Day / Tide Turner, World Scarf Day dan Hari Pengakap Tunas, dengan matlamat memperkukuh hubungan persaudaraan dalam kalangan ahli pengakap, di samping menyemai nilai kesukarelawanan, perpaduan dan kecintaan terhadap alam sekitar.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim.
Majlis dimulakan dengan taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Leftenan Kolonel (B) Ramlee bin Haji Ladis, diikuti dengan nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.
Setelah itu, majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Bakal Pengakap Sultan, sebelum diteruskan dengan Persetiaan Bakal Pengakap Sultan dan Ikrar Pengakap diikuti ucapan alu-aluan yang disampaikan oleh Skip Haji Norahmat bin Haji Sidin.
Sebagai simbolik kepada semangat keamanan dan persaudaraan sejagat, acara Pengalungan Skaf MOP telah disempurnakan kepada tetamu kehormat oleh Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Skip Haji Junaidi bin Haji Hussain.
Skaf MOP turut disampaikan kepada Awang Haji Mohd Amin bin Haji Abdullah dan Siti Zahara binti Haji Matusin sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkukuh nilai persaudaraan, keamanan dan khidmat kepada masyarakat melalui pergerakan pengakap.
Acara kemudiannya diteruskan dengan pelancaran rasmi program oleh Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak, sekali gus menandakan bermulanya pelbagai aktiviti yang disusun sepanjang program.
Selaras dengan pengisian World Clean Up Day / Tide Turner, pengagihan plastik hitam turut dilaksanakan kepada para pemimpin, Ketua PEK, Ketua Patrol dan Ketua Krew bagi menyokong aktiviti kebersihan serta pengumpulan sampah di sekitar kawasan program.
Dalam pada itu, tetamu kehormat berkesempatan mengadakan lawatan ke pameran yang mengetengahkan pelbagai aktiviti, program dan inisiatif pengakap, khususnya yang berkaitan dengan keamanan, pemeliharaan alam sekitar, kemasyarakatan dan pembangunan golongan muda.
Program turut dimeriahkan dengan pelbagai permainan, peraduan dan kuiz yang melibatkan ahli pengakap daripada pelbagai peringkat.
Selain menceriakan suasana, aktiviti berkenaan menjadi wadah bagi para peserta untuk berinteraksi, mengeratkan persahabatan serta memupuk semangat kerjasama dan pembelajaran secara tidak formal.
Program diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi aktiviti dan pertandingan yang telah diadakan.
Penganjuran Program Jalinan Persaudaraan dalam Pengakap mencerminkan komitmen PPNBD dalam memperkukuh semangat Scouting for Peace, selain menggalakkan generasi Pengakap agar terus menyumbang secara positif kepada masyarakat melalui kegiatan kesukarelawanan, penjagaan alam sekitar dan pembinaan hubungan persaudaraan.
Nilai persahabatan, toleransi, disiplin, tanggungjawab dan khidmat kepada masyarakat yang diterapkan menerusi program tersebut diharap terus menjadi amalan dalam kalangan ahli Pengakap, selaras dengan prinsip dan nilai murni pergerakan pengakap.