Jalinkan rangkaian persahabatan, perkongsian idea, ilmu pengetahuan

30 Sep 2026 - 7:01am

Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Hal Ehwal Ugama

KIARONG, Selasa, 29 September. – Dalam memperluaskan jaringan hubungan serta memperkukuh kerjasama antara masjid di dalam dan luar negara, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama melalui Bahagian Imarah telah menganjurkan Program Talian Kasih : Masjid-masjid Serantau. Program tersebut telah diadakan pada pagi tadi di Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah, Kampung Kiarong dengan tujuan untuk mengeratkan hubungan antara masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam dan Selangor Darul Ehsan, Malaysia.

Program ini dilaksanakan secara dalam talian pada setiap bulan bersempena dengan Hari-hari Kebesaran Islam dan negara, dengan penglibatan daripada Ahli Jawatankuasa Takmir, pegawai-pegawai masjid, Muslimah serta belia masjid.

Program ini merupakan kesinambungan daripada Muktamar Masjid-masjid Serantau yang diadakan di Kuching, Sarawak, yang menekankan konsep Mosque Strategic and Smart Networking Centre. Ia menjadi wadah ilmiah dalam menjalinkan rangkaian persahabatan, perkongsian idea, ilmu pengetahuan dan program, di samping menyokong usaha mempromosikan pelancongan Islam.

Turut hadir pada program tersebut ialah Pemangku Penolong Pengarah Hal Ehwal Masjid, Awang Mohd. Aliyani bin Ismail.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti ucapan alu-aluan serta pengenalan Bahagian Imarah oleh Ketua Bahagian Awang Haji Fansuri Sharimi@Mansur bin Mohamad Ali.

Hadir sama pada program tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor, Awang Haji Hashim bin Muhamad.

Juga hadir, Penolong-penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor, pengurus dan nazir-nazir masjid seluruh Negeri Selangor Darul Ehsan.

Program pagi ini turut diisikan dengan pembentangan oleh Nazir Masjid Al Hasanah, Bandar Baru Bangi, Selangor Daril Ehsan, Haji Mohd Sapian bin Abd. Rahman. Masjid tersebut merupakan masjid terbaik Negeri Selangor Darul Ehsan pada tahun 2024.

Objektif utama program ini adalah untuk mengukuhkan hubungan kerjasama antara masjid-masjid senusantara, membuka peluang kerjasama projek dan usaha masa depan, serta berkongsi maklumat dan ilmu secara berkala.

Semoga dengan terlaksananya program ini, hubungan jalinan silaturahim antara masjid-masjid di Negara Brunei Darussalam dengan masjid-masjid serantau akan semakin erat, sekali gus menjadikan masjid sebagai pusat ibadah, pendidikan, kebudayaan dan pembangunan sahsiah umat Islam.