Jelajah Kerjaya 2026 bermula 1 Oktober

30 Sep 2026 - 6:35am

Siaran Akhbar : Pusat Pekerjaan Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 September. - Pusat Pekerjaan Brunei (PPB), di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, akan menganjurkan Jelajah Kerjaya 2026 buat kali ketiga, yang akan berlangsung di keempat-empat daerah dari 1 hingga 18 Oktober 2026.

Jelajah Kerjaya 2026 akan memulakan siri jelajahnya di Daerah Belait selama tiga hari, dari 1 hingga 3 Oktober 2026, bertempat di Pusat Insani, Seria.

Acara kemudiannya akan diteruskan di Daerah Tutong pada 6 dan 7 Oktober 2026 di Dewan Utama dan Dewan Seri Kenangan, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong, dan seterusnya di Daerah Temburong selama satu hari pada 10 Oktober 2026 di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar.

Kemuncak Jelajah Kerjaya 2026 akan berlangsung di Daerah Brunei dan Muara selama empat hari, dari 15 hingga 18 Oktober 2026, di Dewan 1 dan Dewan 2, BRIDEX, Jerudong.

Acara kemuncak ini akan dilancarkan oleh Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

Kesemua acara akan dibuka kepada orang ramai dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang, kecuali pada Jumaat, acara akan ditutup sementara dari 11.30 pagi hingga 2.00 petang.

Jelajah Kerjaya 2026 mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan 106 pempamer, terdiri daripada agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat-syarikat swasta.

Lebih 1,445 peluang pekerjaan akan ditawarkan oleh syarikat-syarikat swasta kepada pencari kerja tempatan merangkumi pelbagai sektor, antaranya perdagangan, hospitaliti, insurans, pendidikan, teknologi, pengangkutan dan sektor-sektor lain.

Selain peluang pekerjaan, Jelajah Kerjaya 2026 turut membuka ruang kepada orang ramai untuk meneroka laluan kerjaya alternatif, termasuk membina perniagaan sendiri, menjana pendapatan secara lebih fleksibel serta memanfaatkan peluang dalam ekonomi ‘gig’ (‘gig economy’) di Negara Brunei Darussalam.

Jelajah Kerjaya bukan sahaja merupakan landasan bagi pencari kerja untuk mendapatkan pekerjaan, malah turut menjadi landasan yang menghimpunkan pencari kerja, majikan dan pihak-pihak berkepentingan utama dalam ekosistem kerjaya yang lebih luas.

Sepanjang Jelajah Kerjaya 2026, pelbagai aktiviti dan perkhidmatan berkaitan kerjaya turut disediakan untuk membantu pencari kerja membuat persediaan, meneroka peluang dan berinteraksi secara langsung dengan bakal majikan.

Antaranya termasuk : Pendaftaran akaun Pusat Pekerjaan Brunei dan pengaktifan akaun eDarussalam; Konsultasi Curriculum Vitae (CV) dan persediaan temu duga; Pameran dan sesi interaksi bersama syarikat-syarikat; Temu duga terbuka; Taklimat dan sesi perkongsian bersama pakar industri; Career 360; Career Discovery Hub; Bengkel Bahasa Isyarat; Safe Space oleh Kementerian Kesihatan; Pelbagai pertandingan dan aktiviti interaktif; dan Pelbagai perkhidmatan serta aktiviti lain yang berkaitan dengan pembangunan kerjaya.

Para pencari kerja adalah dialu-alukan untuk menghadiri Jelajah Kerjaya 2026 dan disarankan membawa salinan fizikal dan digital CV terkini, berserta dokumen-dokumen berkaitan, bagi memudahkan proses permohonan dan temu duga.

Pencari kerja juga digalakkan untuk mengambil peluang menghadiri temu duga terbuka yang dikendalikan secara langsung oleh syarikat-syarikat yang mengambil bahagian, selain berpeluang menghantar CV secara digital kepada bakal majikan.

Bagi Jelajah Kerjaya 2026 di Daerah Brunei dan Muara, perkhidmatan fotokopi berbayar turut disediakan bagi kemudahan para pencari kerja.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai Jelajah Kerjaya 2026 bolehlah menghubungi Pusat Pekerjaan Brunei melalui WhatsApp di +673 7291785 / +673 8239933 atau mengikuti akaun Instagram ‘@jobcentrebrunei’ untuk mendapatkan perkembangan dan maklumat terkini.

Buku Panduan Jelajah Kerjaya 2026 juga boleh dimuat turun melalui laman sesawang ‘www.jobcentrebrunei.gov.bn’.