Kejohanan badminton semarakkan Sambutan Hari Guru ke-36

30 Sep 2026 - 7:28am

Oleh : Khartini Hamir

Foto : Azmah Haji Ahad

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 September. - Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Kokurikulum selaku Jawatankuasa Acara-acara Sukan bagi Sambutan Hari Guru malam tadi mengadakan Peringkat Akhir Kejohanan Badminton sempena Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026 berlangsung di Dewan Pusat Belia, di sini. Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.

Kejohanan ini disertai oleh seramai 91 orang peserta lelaki dan 20 orang peserta perempuan. Penyertaan kejohanan dibukakan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan termasuk tenaga pengajar yang sedang berkhidmat di Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama, khususnya daripada Jabatan Pengajian Islam, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Institut Tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

Kejohanan Badminton ini merupakan salah satu aktiviti sukan dan riadah yang dianjurkan untuk menyemarakkan dan memeriahkan lagi Sambutan Hari Guru Ke-36, Tahun 2026.

Antara tujuan kejohanan ini adalah untuk menggalakkan warga Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama bergiat aktif serta berdaya saing dalam sukan.

Selain itu, kejohanan ini diharap dapat memupuk semangat harmoni dan silaturahim dalam kalangan kedua-dua kementerian tersebut.