Kementerian Pendidikan perkasa AI, inovasi dalam sistem pendidikan

24 Sep 2026 - 5:39am

Oleh : Hajah Siti Zuraihah Awang Haji Sulaiman

Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid, Mohd. Sahrizal Haji Said, Mohammad Hasif Matzin, Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman

BERAKAS, Rabu, 23 September. – Kementerian Pendidikan terus memperkukuh sistem pendidikan negara melalui pelbagai langkah strategik, termasuk memperkasa penggunaan Kecerdasan Buatan (AI), meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak serta membudayakan inovasi dan kemahiran digital di semua peringkat pendidikan.

Perkara tersebut disembahkan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh dalam sembah alu-aluan pada Majlis Kemuncak Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam (NBD) Ke-36, Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

Yang Berhormat Menteri Pendidikan menyembahkan, keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke majlis berkenaan, amat besar ertinya kepada warga pendidik kerana mencerminkan keprihatinan yang mendalam terhadap kebajikan dan kesejahteraan para guru.

“Keberangkatan ini juga menjadi sumber inspirasi dan pembakar semangat bagi ‘abis’ hamba Kebawah Duli Tuan Patik untuk terus melaksanakan amanah dengan penuh dedikasi dan iltizam dalam membentuk generasi yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia serta mampu menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara,” sembah Yang Berhormat.

Dalam sembah alu-aluannya, Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menyembahkan perkembangan tindakan kementerian susulan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Hari Guru Ke-35 yang antara lain menyentuh mengenai penggunaan AI dalam pengajaran dan pembelajaran, peranan Lembaga Peperiksaan NBD serta pemerkasaan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

“Pada menjunjung titah Kebawah Duli Tuan Patik sempena Hari Guru Ke-35, di mana Kebawah Duli Tuan Patik telah bertitah mengenai dengan penggunaan AI dalam pengajaran dan pembelajaran, peranan Lembaga Peperiksaan Brunei (LPB) dan pemerkasaan kualiti pendidikan awal kanak-kanak, disembahkan bahawa Kementerian Pendidikan telah melaksanakan tindakan-tindakan seperti berikut :

“Pertama : Memperkasa keupayaan guru dalam penggunaan AI secara beretika melalui latihan Pembangunan Profesional. Pensijilan AI Guru telah berjaya melatih seramai 4,281 guru yang mana mereka telah meraih AI In depth Literacy Certification. Sementara seramai 772 orang guru (termasuk 22 guru dari Jabatan Pengajian Islam) telah mengikuti Bengkel AI Guidance for Schools Toolkit (AIGST).

“Kedua : Mengenai peranan LPB disembahkan bahawa LPB sedang dalam usaha untuk mengendalikan peperiksaan dan pensijilan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Kesusasteraan Melayu dan Pengetahuan Ugama Islam di peringkat menengah atas dan pra universiti bermula tahun 2028, dengan kelayakan setaraf GCE ‘O’ dan ‘A’ Level,” sembah Yang Berhormat.

Dalam usaha memperkasa kualiti pendidikan awal kanak-kanak, Yang Berhormat menyembahkan bahawa gabungan Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan serta Kementerian Kesihatan telah mula membentuk satu Kerangka Kebangsaan Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak (bagi kanak-kanak berumur antara 0 hingga 5 tahun).

Kerangka bersepadu tersebut, tambah Yang Berhormat, akan menitikberatkan aspek penjagaan dan pendidikan awal, kesihatan dan pemakanan, perlindungan keluarga serta nilai Melayu Islam Beraja (MIB). Seterusnya Yang Berhormat menyembahkan, pembudayaan inovasi turut diperluaskan secara menyeluruh merangkumi semua peringkat pendidikan.

Di peringkat Technical and Vocational Education and Training (TVET), sembah Yang Berhormat, keupayaan belia terus diperkukuh melalui platform pertandingan kemahiran bagi mengiktiraf kecemerlangan, di samping melahirkan bakat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, ujar Yang Berhormat lagi, institusi pengajian tinggi bertindak sebagai pemacu utama pembangunan lestari melalui pelaksanaan penyelidikan-penyelidikan berimpak tinggi seperti sekuriti makanan, penyediaan prasarana teknologi hijau yang berfungsi sebagai makmal hidup serta penggubalan pelan induk kelestarian yang bersepadu.

Di peringkat pendidikan teras pula, tambah Yang Berhormat, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Anugerah Inovasi Sekolah sejak November 2025 untuk memupuk budaya kreativiti dan memantapkan Penilaian Kendiri Sekolah.

“Disembahkan bahawa bagi memastikan budaya inovasi disokong oleh keupayaan yang relevan dengan tuntutan masa hadapan, penekanan khusus turut diberikan kepada kemahiran digital seperti Computational Thinking dan AI. Kementerian Pendidikan telah menyediakan Brunei Darussalam Digital Literacy Standards (BDDLS) dan mengemas kini kurikulum ICT.

“Langkah ini memenuhi objektif Pelan Strategik Kementerian Pendidikan 2023–2027 dan disokong oleh Rangka Kerja Digital Citizenship Kementerian Pendidikan,” sembah Yang Berhormat.

Dalam pada itu, tambah Yang Berhormat, tindakan untuk memperkemas kualiti pendidikan turut dilaksanakan di kesemua peringkat pendidikan, sama ada di institusi pendidikan kerajaan mahupun swasta. Bagi tujuan tersebut sembah Yang Berhormat, SOP Institusi Pendidikan Swasta (SOP-IPS) telah dikemas kini dan mula dikuatkuasakan pada Januari 2026.

Prosedur berkenaan merangkumi elemen pendaftaran sekolah, guru dan yuran, di samping aspek baharu seperti kelulusan binaan bangunan, aktiviti luar, penempatan tenaga pengajar serta pemantauan secara berterusan.

Pada kesempatan tersebut, Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut menyampaikan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para penerima Anugerah Hari Guru Ke-36 serta merakamkan setulus penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga guru di NBD.

“Segala jasa dan dedikasi para guru akan sentiasa dikenang dan dihargai sebagai nadi kepada pembangunan pendidikan yang lestari dan inovatif,” ujar Yang Berhormat.