Oleh : Aimi SaniFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
GADONG, Selasa, 29 September. - Southeast Asian Regional Center for Graduate Study and Research in Agriculture (SEARCA) memainkan peranan penting dalam menyatukan dan menyokong pembangunan serantau.
Melalui usaha dalam bidang pendidikan, penyelidikan, pembangunan kapasiti dan perkongsian ilmu, SEARCA terus memberikan sumbangan yang bermakna dalam memperkukuh sektor pertanian, pembangunan luar bandar dan modal insan di seluruh Asia Tenggara.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh semasa Perasmian Mesyuarat Lembaga Pengelola Ke-74 Southeast Asian Ministers of Education Organization - SEARCA (SEAMEO SEARCA) bertempat di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, di sini.
Menurut Yang Berhormat Menteri Pendidikan, matlamatnya adalah untuk meningkatkan pendapatan petani, memperkukuh keselamatan makanan dan pemakanan, membina daya tahan serta memperkasa masyarakat dan institusi, suatu matlamat yang amat bertepatan dengan keperluan semasa dan juga bercita-cita tinggi.
Yang Berhormat seterusnya menjelaskan, bahawa tugas yang perlu dilaksanakan seterusnya adalah untuk menterjemahkan visi tersebut kepada tindakan: penyelidikan yang dapat menyumbang kepada pembentukan dasar; pendidikan dan latihan yang mempersiapkan generasi akan datang; serta inovasi yang berguna, mudah diakses dan responsif terhadap keperluan para petani.
"Kemajuan tidak seharusnya dinilai hanya berdasarkan pelan dan aktiviti yang dilaksanakan, tetapi juga berdasarkan sama ada kehidupan rakyat bertambah baik, sama ada mata pencarian menjadi lebih terjamin, sistem makanan menjadi lebih berdaya tahan, dan peluang menjadi lebih inklusif.
"Oleh sebab itu, tugas Lembaga Gabenor amat penting. Perbincangan yang dijalankan oleh para anggota lembaga membantu menetapkan hala tuju, menilai prestasi, dan memastikan sumber serta program SEARCA memenuhi misi serantaunya. Saya menggalakkan agar mesyuarat ini dilaksanakan secara konstruktif dan berpandangan jauh : berkongsi pandangan secara terbuka, mengambil iktibar daripada pengalaman negara-negara yang berbeza serta mengenal pasti bidang di mana kerjasama serantau dapat memberikan impak yang paling besar," terang Yang Berhormat lagi.
Dalam melangkah ke hadapan, Yang Berhormat dalam ucapannya, turut menggalakkan SEARCA untuk terus berperanan sebagai sebuah pusat kecemerlangan serantau yang terkemuka, menggalakkan inovasi, memperkukuh kerjasama dan menyokong penyelesaian berasaskan bukti demi pembangunan mampan. Dengan asas yang kukuh, kepimpinan yang berdedikasi serta rangkaian serantau yang luas, SEARCA berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan sumbangan yang lebih besar kepada kemajuan Asia Tenggara pada tahun-tahun mendatang.
Yang Berhormat seterusnya mengongsikan bahawa cabaran yang kita hadapi adalah besar, namun begitu juga peluang yang tersedia. Melalui kerjasama, inovasi dan komitmen bersama terhadap pembangunan mampan, kita dapat membina masa depan yang berdaya tahan, inklusif dan makmur untuk semua.
Negara Brunei Darussalam, tambah Yang Berhormat, amat menghargai kerjasama serta perkongsian ilmu di seluruh Asia Tenggara dan berharap agar masa yang diluangkan di sini akan mengukuhkan hubungan antara negara dan institusi kita, serta menyokong usaha penting SEARCA dan rakan-rakannya.
Terdahulu, Yang Berhormat dalam ucapannya berkata, mesyuarat ini berlangsung pada masa yang tepat. Di seluruh rantau kita, para petani dan masyarakat luar bandar berhadapan dengan risiko perubahan iklim yang semakin meningkat, perubahan dalam pasaran, tekanan terhadap sumber semula jadi serta cabaran berterusan berkaitan keselamatan makanan dan pemakanan.
Isu-isu ini, jelas Yang Berhormat, tidak terhenti di sempadan negara. Ia memerlukan kerjasama, institusi yang kukuh, serta penyelesaian yang berasaskan bukti saintifik dan pengalaman mereka yang bekerja secara langsung di lapangan.
Pada hari ini, tambah Yang Berhormat lagi, kita berkumpul dengan satu tujuan bersama: untuk menangani cabaran yang dikongsi bersama, memanfaatkan peluang-peluang yang muncul, serta menyumbang ke arah masa depan rantau kita yang lebih mampan dan berdaya tahan. Mesyuarat ini juga menjadi platform penting untuk dialog, kerjasama dan pembuatan keputusan secara strategik.
Yang Berhormat dalam pada itu, turut mengalu-alukan kedatangan para hadirin ke Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri Mesyuarat Lembaga Pengelola Ke-74 SEAMEO SEARCA.
Menurut Yang Berhormat lagi, Negara Brunei Darussalam amat berbesar hati menjadi tuan rumah kepada perhimpunan pemimpin serantau yang mempunyai komitmen terhadap masa depan sektor pertanian dan pembangunan luar bandar di Asia Tenggara.