Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Kemajuan Pelancongan
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 22 September. - Negara Brunei Darussalam (NBD) baru-baru ini telah mengalu-alukan ketibaan kapal persiaran Adora Magic City yang membawa seramai 3,792 penumpang antarabangsa dan 1,205 anak kapal.
Kapal berkenaan membuat kunjungan sulung ke NBD selepas berlepas dari Kota Kinabalu, Malaysia, sebagai sebahagian daripada pelayaran serantau sebelum meneruskan perjalanan ke Republik Sosialis Viet Nam.
Ketibaan kapal berkenaan merupakan satu lagi pencapaian dalam usaha NBD memperkukuh daya tarikan sebagai destinasi pelancongan bagi pelancong dari Republik Rakyat China, di samping meningkatkan kehadiran negara dalam pasaran pelancongan kapal persiaran serantau.
Setibanya di negara ini, para penumpang menerima sambutan meriah menerusi persembahan muzik dan tarian tradisional gulintangan, yang memberikan pengenalan kepada khazanah budaya serta layanan mesra NBD yang sememangnya terkenal.
Sepanjang persinggahan di negara ini, para penumpang berpeluang mengunjungi beberapa tempat tarikan utama di NBD, antaranya Istana Nurul Iman, Kampong Ayer, Jame' 'Asr Hassanil Bolkiah dan Muzium Alat Kebesaran Diraja, selain beberapa destinasi menarik yang lain.
Kunjungan berkenaan turut memberikan peluang kepada para penumpang untuk merasai suasana kehidupan yang aman damai, mengenali budaya tempatan serta menikmati keramahan masyarakat NBD.
Para pengunjung yang menaiki kapal persiaran berkenaan turut berkongsi pandangan positif mengenai pengalaman mereka sepanjang berada di NBD. Seorang penumpang dari Republik Rakyat China, Han, menyifatkan kunjungan berkenaan sebagai satu pengalaman yang menyenangkan, khususnya dengan suasana negara yang aman dan masyarakatnya yang ramah.
Sementara seorang lagi penumpang, iaitu Lee, menyifatkan NBD sebagai sebuah negara yang menarik serta menghargai peluang untuk meneroka negara ini sepanjang persinggahan kapal persiaran berkenaan.
Manakala Wang turut memberikan pandangan positif terhadap pengalamannya, khususnya mengenai suasana NBD yang aman serta layanan mesra yang diterima.
Ketibaan Adora Magic City menyerlahkan lagi minat yang semakin meningkat terhadap NBD sebagai destinasi pelancongan kapal persiaran serantau, di samping memberikan sumbangan positif kepada industri pelancongan tempatan dengan menyokong pengusaha pelancongan, penyedia perkhidmatan pengangkutan, pemandu pelancong, restoran serta perniagaan berkaitan pelancongan yang lain.
Dengan lebih banyak kapal persiaran antarabangsa dijadualkan berkunjung ke NBD dalam beberapa bulan akan datang, negara ini dijangka menerima jumlah penumpang kapal persiaran yang semakin meningkat, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada industri pelancongan dan perniagaan tempatan untuk mengetengahkan tarikan, budaya serta keramahan NBD.
Kapal berkenaan merupakan kapal persiaran terbesar yang pernah berkunjung ke NBD setakat ini dari segi kapasiti penumpang bagi satu kunjungan, selain menjadi kapal persiaran antarabangsa ke-19 yang mengunjungi negara ini pada tahun ini.
Jabatan Kemajuan Pelancongan berharap dapat mengalu-alukan lebih 10 lagi kapal persiaran antarabangsa sebelum penghujung 2026, sekali gus membawa lebih ramai pengunjung ke NBD dan seterusnya memperkukuh kedudukan negara dalam sektor pelancongan kapal persiaran serantau.
Seiring dengan perkembangan sektor pelancongan kapal persiaran, jabatan berkenaan turut menyeru agar sokongan dan kerjasama berterusan daripada semua pihak berkepentingan, termasuk pengusaha pelancongan, penyedia perkhidmatan pengangkutan, pemandu pelancong, pengusaha perhotelan, pengendali tempat tarikan pelancongan serta agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.
Usaha secara menyeluruh berkenaan adalah penting bagi memastikan para penumpang kapal persiaran menerima sambutan yang mesra serta pengalaman kunjungan yang lancar dan bermakna sepanjang berada di NBD.