Berita dan Foto: Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim
TUTONG, Sabtu, 26 September. – Masjid adalah tempat hati kita untuk kembali kepada Allah Subhanahu Wata’ala, kita datang ke masjid untuk beribadah kepada Allah Subhanahu Wata’ala,
Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda mengenai dengan antara tujuh golongan yang mendapat naungan daripada Allah Subhanahu Wata’ala pada hari kiamat. Salah satu yang disebutkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ialah seseorang yang hatinya terpaut kepada masjid.
Pegawai Ugama, Penolong Ketua Bahagian Pengembangan Da’wah (Da’wah Khas), Awang Mohammad Nasyith bin Superi menyatakan perkara itu dalam Kuliah Maghrib bertajuk ‘Peranan Masyarakat Dalam Memartabat Syiar Islam’ yang berlangsung di ruang utama solat, Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong, di sini.
Jelasnya, Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam menyebutkan hati yang terpaut kepada masjid. Tambahnya, ada orang di luar sana selain daripada diri kita sendiri, bila kita berada di dalam masjid kita akan berasa selesa dan tenang kerana hati sudah terpaut dengan masjid
Selain itu, beliau juga menjelaskan mengenai firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah At-Taubah, ayat ke-18, tafsirnya, “Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”.
Justeru itu, mengimarahkan, memakmurkan dan menghidupkan masjid iaitu sebagai tempat untuk menyembah kepada Allah Subhanahu Wata’ala secara berjemaah dan beriman kepada-Nya. Solat berjemaah di masjid mempunyai fadilat iaitu ganjaran pahala yang lebih tinggi berbanding solat sendirian.
Di samping itu, beliau juga menjelaskan kepada jemaah untuk sama-sama memanjatkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wata’ala, kerana dengan izin-Nya jua mengurniakan peluang kepada kita untuk berkumpul dalam suasana yang cukup bermakna iaitu berkumpul dalam sempena 60 Tahun Jubli Intan Masjid Hassanal Bolkiah, Pekan Tutong.