Siaran Akhbar dan Foto : Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 September. - Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti dan kemahiran dalam penjagaan kanak-kanak (Taska) di seluruh negara, Pusat Penjagaan kanak-Kanak, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) telah menganjurkan kursus secara berfasa bermula 10 Ogos hingga 10 Oktober 2026.
Sejumlah empat buah Pusat Penjagaan Kanak-Kanak iaitu PGGMB Daycare, Miftah Daycare, Brainybunch Daycare dan Little Chipmunk Treehouse menyertai kursus berkenaan.
Kursus anjuran Pusat Penjagaan Kanak-Kanak, JAPEM tersebut dikendalikan oleh Syarikat Core Einstein Centre Of Innovation and Research Science, dengan modul yang merangkumi ceramah, bengkel, pembentangan berkumpulan, penilaian dan ujian.
Antara tajuk yang diketengahkan termasuk Caregiver Provider Programme for Infant & Children, Orientation and Growth and Development, Nutrition and Baby Care, Psychology and Play Therapy, Medication and Safety, First Aid and Programme Evaluation, serta Post Assessment and OCEE.
Kursus ini memberikan pendedahan tentang aspek pengasuhan, pendidikan dan pendekatan penjagaan yang bersesuaian bagi kanak-kanak di bawah pusat penjagaan ini.
Kaedah asuhan yang diterapkan adalah bagi kanak-kanak berumur 0-12 tahun.
Selain itu, para peserta turut didedahkan kepada ilmu berkaitan tumbesaran dan perkembangan awal kanak-kanak, pemakanan serta penjagaan kesihatan dan keselamatan kanak-kanak.
Kursus tersebut juga bertujuan membekalkan kemahiran profesional kepada pengendali dan tenaga pengasuh di pusat penjagaan kanak-kanak, khususnya dalam memastikan aspek kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan kanak-kanak sentiasa diberikan keutamaan.
Di samping itu, peserta turut mempelajari teknik pengasuhan yang betul serta kaedah komunikasi yang berkesan, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap perkhidmatan penjagaan kanak-kanak yang disediakan di negara ini.
Kursus berkenaan dikendalikan oleh Dayang Hajah Salmah binti Haji Muhd. Noor dan Hajah Maimunah binti Haji Othman, selaku koordinator dari Core Einstein Centre of Innovation and Research Science.
Pada pagi ini, Yang DiPertua PGGMB, Awang Haji Mustapa bin Haji Masri berkesempatan meninjau dan mengikuti kursus berkenaan bagi memberi sokongan kepada peserta-peserta dari PGGMB Daycare.
Menurut beliau, kursus tersebut amat bermanfaat dan relevan kepada para peserta yang terlibat dalam bidang penjagaan kanak-kanak di negara ini.
Beliau turut menyatakan bahawa para peserta berpeluang mempelajari pelbagai teknik dan kemahiran, di samping memperoleh pengalaman serta pengetahuan baharu sepanjang mengikuti kursus berkenaan.
Beliau juga menghargai pengalaman dan kemahiran para penceramah dalam menyampaikan modul serta tajuk-tajuk yang berkaitan dengan penjagaan dan perkembangan kanak-kanak.