Majlis Kesyukuran HPA Ke-33 di Daerah Belait

30 Sep 2026 - 7:46am

Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Mohammad Hasif Matzin

KUALA BELAIT, Selasa, 29 September. - Sempena Sambutan Hari Perkhidmatan Awam (HPA) Ke-33, Jabatan Perdana Menteri menganjurkan Majlis Kesyukuran yang berlangsung serentak di masjid-masjid utama di keempat-empat daerah.

Bagi Daerah Belait, Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait menjadi masjid tumpuan bagi majlis berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan.

Majlis berkenaan diisi dengan Sembahyang Fardu Asar Berjemaah yang diimamkan oleh Awang Afiq Haririe bin Haji Mat Daud, diikuti dengan bacaan Surah Yaa Siin serta bacaan Doa Khas sebagai tanda kesyukuran dan memohon keberkatan sempena Sambutan HPA pada tahun ini.

Majlis yang diadakan di setiap daerah turut dihadiri oleh Setiausaha-setiausaha Tetap, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan serta pegawai dan kakitangan Perkhidmatan Awam.

Kemuncak Sambutan HPA Ke-33 akan berlangsung pada 18 Jamadilawal 1448 Hijrah bersamaan 29 Oktober 2026 Masihi, bertempat di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.