Majlis Tautan Kasih eratkan silaturahim alumni IPSHB

1 Okt 2026 - 5:32am

Berita dan Foto : Ihsan Dayang Hajah Sarimah

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 30 September. - Seramai lebih 30 bekas pelajar yang pernah menuntut di Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah (IPSHB) dari tahun 1984 hingga 1987 berkumpul dalam Majlis Tautan Kasih, Reunion IPSHB 1984-1987 yang pertama, pada 23 September 2026 lalu berlangsung di Emperor’s Court, Manggis, Bandar Seri Begawan.

Majlis berkenaan menghimpunkan alumni daripada tiga buah kelas yang pernah menuntut di institut tersebut, sekali gus menjadi wadah bagi mengimbau kembali kenangan sepanjang zaman persekolahan serta mengeratkan semula tali silaturahim yang telah lama terjalin.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti bacaan doa dan tahlil yang dikhususkan pahalanya kepada enam orang sahabat yang telah kembali ke rahmatullah. Bacaan tersebut dipimpin oleh Awang Haji Manan bin Ratu.

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Awang Haji Zakaria bin Haji Duraman yang antara lain mengimbau pelbagai kenangan dan pengalaman yang dilalui bersama, daripada zaman persekolahan sehinggalah meniti usia emas dan alam persaraan.

Suasana majlis turut diserikan dengan sesi ‘Sekapur Sirih’ selama dua minit yang memberi peluang kepada beberapa orang alumni untuk berkongsi kisah dan kenangan sepanjang 38 tahun, termasuk pengalaman suka dan duka serta cerita-cerita lucu yang pernah dilalui bersama.

Antara detik yang menyentuh hati ialah apabila tujuh orang daripada bekas rakan seperjuangan tersebut kini telah memeluk agama Islam, menjadikan pertemuan berkenaan bukan sekadar medan mengimbau kenangan lalu, malah turut menjadi ruang untuk mengeratkan kembali silaturahim yang terpisah oleh masa, jarak dan perjalanan hidup masing-masing.

Majlis tersebut diharap bukan menjadi pertemuan yang terakhir, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pertemuan, kunjungan dan aktiviti ziarah dalam kalangan alumni pada masa akan datang.

Semoga Allah Subhanahu Wata'ala mengurniakan kepada semua sahabat umur yang panjang dalam keberkatan, kesihatan, ketenangan dan kebahagiaan, serta menerima segala jasa dan pengorbanan mereka sebagai amal kebajikan.