Memupuk kesedaran tentang pertanian, kelestarian alam sekitar

30 Sep 2026 - 6:54am

Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Islam Sultan Sharif Ali

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 September. - Fakulti Pertanian, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Badan Pelajar Fakulti Pertanian (FASS) Sesi 2025/2026 telah menganjurkan Program Pendedahan dan Aktiviti Pertanian di Pusat Bahagia Tutong yang bertemakan ‘Improving Plant Growth Through Composting’.

Program ini merupakan inisiatif pendidikan dan khidmat masyarakat yang menggabungkan perkongsian ilmu pertanian, aktiviti praktikal, interaksi sosial bersama komuniti.

Program ini melibatkan kira-kira 60 peserta dan jawatankuasa, termasuk 30 warga Pusat Bahagia Tutong, 26 Ahli FASS serta enam pensyarah dan kakitangan UNISSA selaku pengiring dan penyelaras.

Program ini bertujuan memperkenalkan asas pertanian, khususnya mengenai pengurusan dan penggunaan kompos dalam menyokong pertumbuhan tanaman.

Melalui aktiviti pembelajaran secara praktikal dan interaktif, para peserta didedahkan dengan manfaat kompos sebagai sumber bahan organik yang dapat membantu meningkatkan kesuburan tanah serta menggalakkan pertumbuhan tanaman yang lebih baik. 

Antara aktiviti utama yang dijalankan ialah sesi pendidikan mengenai penjagaan dan penyelenggaraan tanaman, penerangan dan demonstrasi penghasilan kompos serta aktiviti amali menghasilkan kompos bersama para peserta.

Program turut disertakan dengan sesi soal jawab, refleksi bersama warga Pusat Bahagia Tutong, lawatan sekitar pusat serta penyampaian cenderamata dan sijil sebagai tanda penghargaan atas kerjasama yang diberikan.

Pelaksanaan program ini turut menyokong beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), antaranya SDG 3: Kesihatan Baik dan Kesejahteraan, SDG 4: Pendidikan Berkualiti, SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan, SDG 11: Bandar dan Komuniti yang Mampan, SDG 13: Tindakan Terhadap Perubahan Iklim, SDG 15: Kehidupan di Darat serta SDG 17: Perkongsian untuk Mencapai Matlamat.

Inisiatif ini selaras dengan usaha memupuk kesedaran terhadap pertanian lestari, pengurusan sisa organik, dan kepentingan kelestarian alam sekitar.

Penganjuran program ini mencerminkan komitmen Fakulti Pertanian UNISSA dalam memperluas peranan mahasiswa dan mahasiswi Fakulti melalui khidmat masyarakat serta perkongsian ilmu pertanian kepada komuniti.

Usaha seumpama ini diharap dapat terus menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih inklusif, berpengetahuan dan mampan.