Siaran Akhbar dan Foto : ReCAAP Information Sharing Centre
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Pusat Perkongsian Maklumat ReCAAP (ReCAAP Information Sharing Centre-ISC) dan Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), bersama Pusat Penyelarasan Maritim Kebangsaan, hari ini menamatkan Mesyuarat Kluster selama empat hari yang berlangsung dari 21 hingga 24 September 2026 di ibu negara.
Mesyuarat berkenaan menghimpunkan wakil-wakil dari PPDB, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (MPABD), Brunei Gas Carriers Sdn. Bhd., Brunei Shell Petroleum, Brunei LNG Sdn. Bhd. dan Jabatan Perikanan.
Turut menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Focal Points ReCAAP dari Kemboja, Republik Rakyat China, Republik Filipina, Thailand dan Republik Sosialis Viet Nam, serta Indonesia Marine and Air Police Corps (IMAP).
Sepanjang mesyuarat, para peserta yang mewakili pelbagai pihak berkepentingan diberikan taklimat mengenai pelbagai aspek keselamatan pelabuhan dan maritim di Negara Brunei Darussalam (NBD), termasuk pengesanan awal dan tindakan balas terhadap ancaman keselamatan maritim, teknologi baharu dalam operasi keselamatan maritim, keselamatan pelabuhan dalam era digital, dan memperkukuh keselamatan tenaga luar pesisir melalui teknologi baharu dan kerjasama maritim.
Para peserta turut mengadakan perbincangan secara berkumpulan mengenai penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam usaha membanteras cetak rompak ddan operasi keselamatan rentas sempadan, di samping membincangkan cabaran keselamatan maritim semasa, ancaman baharu di rantau ini serta peluang untuk terus memperkukuh rangka kerja ReCAAP.
Pengarah Eksekutif ReCAAP ISC, Vijay Chefekar, berkata bahawa penggunaan AI membolehkan agensi penguatkuasaan undang-undang mengenal pasti anomali berkaitan kapal yang mencurigakan atau pergerakan luar biasa di dalam pelabuhan dan perairan wilayah masing-masing.
"Saya menggalakkan Focal Points ReCAAP untuk meneroka penggunaan teknologi sedemikian bagi mengesan kapal-kapal mencurigakan yang mungkin terlibat dalam kegiatan rompakan bersenjata terhadap kapal atau aktiviti jenayah lain," ujarnya lagi.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Gerakan, Penolong Pesuruhjaya Polis, Awang Haji Hamri Aslan bin Haji Abu Hanafiah, selaku Gabenor ReCAAP ISC bagi NBD, berkata, Focal Points ReCAAP di Asia Tenggara berdepan dengan cabaran keselamatan yang sama, termasuk kegiatan rompakan bersenjata terhadap kapal; penyeludupan barangan larangan; penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak dikawal selia (Illegal, Unreported and Unregulated Fishing - IUU Fishing) serta penghijrahan manusia secara tidak teratur.
Jelasnya lagi, Mesyuarat Kluster berkenaan menyediakan platform yang bermanfaat bagi Focal Points ReCAAP untuk membincangkan amalan terbaik dan menyelaraskan tindakan balas terhadap jenayah maritim rentas negara.