Oleh : Rohani Haji Abdul Hamid
BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Majistret Malai Sharifah Nur Baqiyah binti Malai Shahran, telah menjatuhkan hukuman denda terhadap seorang warganegara Malaysia atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 146(1)(d) Perintah Eksais 2006 kerana memiliki sebanyak 1,035 unit dan 11 set vape pelbagai jenis, 3,121 perisa jus vape pelbagai jenis dan 19 batang rokok pelbagai jenis tanpa kebenaran yang sah. Tertuduh juga memiliki sebanyak 2,407 dan 13 paket vape aksesori.
Azrul Helmee bin Abdul Ajiz dijatuhkan hukuman denda sebanyak BND465,898 atau 47 bulan penjaraan.
Defendan ditangkap oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Kastam dan Eksais Diraja pada 20 Mac 2023, jam 7.58 malam di sebuah rumah di Kampung Sungai Tilong.
Semua barang yang terlibat, iaitu vape, perisa jus vape, rokok dan vape aksesori dihukum rampas untuk diserahkan ke pihak kerajaan bagi tujuan pelupusan.
Hakim juga memerintahkan satu unit telefon jenama Vivo berserta kad SIM (light blue) dan wang tunai BND688.70 dan SGD0.10 dihukum rampas untuk diserahkan ke pihak kerajaan.