Oleh : Rohani Haji Abdul HamidFoto : Mohammad Hasif Matzin
GADONG, Selasa, 29 September. - Kedutaan Republik Rakyat China di Negara Brunei Darussalam malam ini mengadakan Majlis Resepsi sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-77 Penubuhan Republik Rakyat China, di samping Memperingati Ulang Tahun Ke-35 Penubuhan Hubungan Diplomatik antara Republik Rakyat China dan Negara Brunei Darussalam.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun di sini ialah Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial dan Tenaga Manusia dan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman bersama Datin.
Turut hadir, bakal Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Chen Shaochun dan isteri, Madam Wu Yi serta para jemputan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kanan kerajaan, diplomat, wakil agensi kerajaan dan sektor swasta.
Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat serta persembahan kebudayaan, antaranya muzik tradisional, seni mempertahankan diri, persembahan wusyu dan pencak silat.
Penganjuran majlis berkenaan bukan sahaja menjadi wadah untuk Meraikan Ulang Tahun Penubuhan Republik Rakyat China, malah turut mencerminkan hubungan persahabatan dan kerjasama yang terus berkembang antara Republik Rakyat China dan NBD sepanjang 35 Tahun Hubungan Diplomatik kedua-dua negara.
Hubungan diplomatik terjalin sejak tahun 1991 terus berkembang dalam pelbagai bidang, sekali gus memperkukuh persefahaman serta kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.
Sambutan berkenaan turut menyerlahkan hubungan erat yang terus diperkasakan melalui pelbagai bidang kerjasama.
Majlis diakhiri dalam suasana mesra dan penuh keharmonian, mencerminkan semangat persahabatan yang menjadi asas penting dalam memperkukuh hubungan dua hala antara NBD dan Republik Rakyat China.