Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Pendidikan
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 September. - Pegawai Pendidikan dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Dayang Nurulhazwa binti Haji Hashiem @ Haji Karim, berjaya meraih tempat Pertama (Gold Award) dalam Anugerah Inovasi ASEFClassNet sempena Persidangan ASEF Classroom Network Ke-19 dalam Future-Ready Teaching: Human Agency in the Age of AI, yang berlangsung di Innsbruck, Austria dari 22 hingga 24 September 2026.
Kejayaan cemerlang ini dicapai menerusi pembentangan projek Innovative Teaching Practice (ITP) oleh kumpulan beliau yang dinamakan 'Project Autonomy', yang telah dilaksanakan di Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan.
Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Pendidik telah menyelaras penyertaan dua orang tenaga pengajar tempatan dalam persidangan anjuran Asia-Europe Foundation (ASEF) tersebut.
Selain Dayang Nurulhazwa, penyertaan Negara Brunei Darussalam turut disertai oleh Dayang Jasdinah binti Haji Jasdi dari Sekolah Menengah Rimba II.
Penyertaan ini merupakan sebahagian daripada ASEF Classroom Network School Collaboration, iaitu platform kolaborasi tenaga pengajar sekolah menengah dari negara-negara Asia dan Eropah yang telah dilaksanakan secara dalam talian sejak bulan April lalu.
Semasa persidangan tersebut, kedua-dua tenaga pengajar membentangkan hasil Amalan Pengajaran Inovatif (Innovative Teaching Practice - ITP), berkongsi pengalaman dan pembelajaran bersama para peserta, serta bersaing bagi merebut Anugerah Inovasi ASEFClassNet.
Persidangan bertema ‘Future-Ready Teaching: Human Agency in the Age of AI’ ini menghimpunkan kira-kira 70 orang guru sekolah menengah, vokasional, dan sekolah tinggi, serta pendidik, penyelidik, dan pembuat dasar dari lebih 30 buah negara Asia dan Eropah bagi membentangkan projek inovasi masing-masing.
Kementerian Pendidikan berharap agar pencapaian ini dapat memberi inspirasi dan membakar semangat para pendidik di negara ini untuk terus memperkasakan amalan pengajaran berinovasi di peringkat antarabangsa.