Operasi Kakas giat dilaksanakan bagi bendung kesalahan imigresen

25 Sep 2026 - 12:18am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan

BELAIT, Khamis, 24 September. - Operasi Kakas JIPK 2026 terus giat dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait bagi membendung para pesalah imigresen di Negara Brunei Darussalam.

Satu operasi penguatkuasa undang-undang telah dilaksanakan dengan menyasarkan kawasan di sekitar Mukim Liang.

Semasa Operasi Kakas 104/2026 yang dilaksanakan, pemeriksaan telah dijalankan terhadap lapan orang warganegara asing, seorang penduduk tetap Negara Brunei Darussalam (NBD) dan seorang warganegara Brunei Darussalam.

Seorang daripada yang diperiksa telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Undang-Undang, Cawangan Kuala Belait bagi siasatan lanjut kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4), Peraturan Imigresen, Penggal 17, iaitu bekerja menggunakan Pas Lawatan.

Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) turut mengongsikan dua sesi pendakwaan yang telah dijalankan sepertimana berikut, iaitu Awang Azlan bin Awang Damit, seorang lelaki warganegara Brunei Darussalam berumur 49 tahun mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 12(1)(k) Akta Pasport, Penggal 146, iaitu bersubahat bagi seseorang untuk melakukan kesalahan di bawah Bab 12(1)(c) Akta Pasport, Penggal 146, iaitu menyamar atau mengaku dirinya dengan palsu dengan menggunakan pasport orang lain.

Individu berkenaan dijatuhkan hukuman penjara selama empat bulan berkuat kuasa mulai daripada tarikh individu berkenaan ditahan reman pada 17 Ogos 2026. Kes merupakan kes peralihan dari Pos Kawalan Imigresen Sungai Tujoh, Kuala Belait.

Manakala seorang lagi individu bernama Md. Arif, iaitu seorang lelaki warganegara Republik Rakyat Bangladesh berumur 33 tahun mengaku bersalah bagi kesalahan di bawah Bab 15(1), Akta Imigresen, Penggal 17, iaitu tinggal lebih masa di negara ini setelah Pas Imigresen mansuh.

Individu berkenaan dijatuhkan hukuman penjara selama sembilan bulan dan tiga kali sebatan berkuat kuasa pada 16 September 2026.