Operasi Usai dapati beberapa kesalahan

27 Sep 2026 - 2:16am

Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 September. - Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan telah menjalankan Operasi Usai 223/2026 di kawasan Kampung Rimba pada 22 September 2026, bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Akta Pekerjaan, penggal 278 dipatuhi oleh para majikan.

Pemeriksaan ke atas kegiatan pengangkutan telah mendapati sebanyak lapan kesalahan di bawah Akta Pekerjaan, Penggal 278 yang dipercayai dilakukan oleh majikan terhadap beberapa pekerja tempatan iaitu Bab 10 Pekerja tidak disediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis, Bab 39(1) iaitu majikan gagal membayar gaji pekerja dalam tempoh tujuh hari selepas hari terakhir tempoh gaji berkenaan sepatutnya dibayar, Bab 39(2) Majikan gagal membayar kerja lebih masa, Bab 63 Majikan tidak memberikan cuti rehat, Bab 64 iaitu pekerja bekerja pada hari rehat dan hari kelepasan awam tanpa dibayar gaji menurut yang diperuntukkan di dalam Akta, Bab 70 Majikan gagal memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan, Bab 71 Majikan gagal memberikan cuti tahunan berbayar kepada pekerja-pekerja dan Bab 72 Gagal memberikan cuti sakit yang disahkan oleh pengamal perubatan.

Siasatan lanjut akan dijalankan bagi kesalahan melanggar Akta Pekerjaan, Penggal 278, jika sabit kesalahan, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada BND1,000 bagi tiap-tiap kesalahan. Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.

Sehubungan dengan itu, Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan ingin mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Akta Pekerjaan, Penggal 278 seperti menyediakan kontrak perkhidmatan secara bertulis yang ditandatangani oleh majikan dan pekerja, majikan hendaklah membayar gaji pekerja-pekerja tepat pada masa dalam tempoh tujuh hari selepas hari terakhir tempoh gaji tersebut sepatutnya dibayar, majikan hendaklah membayar gaji kerja lebih masa jika pekerja bekerja melebihi lapan jam sehari atau bekerja melebihi 44 jam dalam seminggu, memberikan cuti rehat sehari dalam seminggu atau mana-mana hari di minggu tersebut, bekerja pada hari rehat dan pada hari kelepasan awam yang diwartakan hendaklah dibayar ganda atau diganti cuti pada hari lain, memberikan cuti hari kelepasan awam yang diwartakan dan memberikan cuti sakit berbayar yang disahkan oleh pengamal perubatan.

Untuk makluman lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Tenaga Manusia dan Pekerjaan menerusi talian +673 2381848 (semasa waktu bekerja) atau +673 7298989 (di luar waktu bekerja).