Pembukaan Mesyuarat Lembaga Pengelola Ke-74 SEAMEO SEARCA

30 Sep 2026 - 7:43am

Oleh : Aimi SaniFoto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid 

GADONG, Selasa, 29 September. - Mesyuarat Lembaga Pengelola Ke-74 Southeast Asian Ministers of Education Organization - Southeast Asian Regional Center for Graduate Study and Research in Agriculture (SEAMEO SEARCA) berlangsung selama dua hari bermula dari 29 hingga 30 September 2026 di Negara Brunei Darussalam.

Lembaga Pengelola SEAMEO SEARCA berperanan sebagai badan pembuat dasar pusat berkenaan dengan memberikan hala tuju dasar dan pengawasan, meneliti serta menilai program, operasi dan keutamaan SEARCA, mempertimbangkan penambahbaikan yang diperlukan, serta meneliti dan mengesahkan perjanjian-perjanjian institusi yang utama.

Diselaraskan oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dengan SEAMEO SEARCA, mesyuarat ini menghimpunkan Ahli-ahli Lembaga Pengelola, pegawai dan delegasi dari seluruh rantau bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan kerjasama serantau, pendidikan, pertanian, penyelidikan, pembangunan kapasiti dan pembangunan mampan.

Sehubungan itu, Upacara Pembukaan Mesyuarat Lembaga Pengelola Ke-74 telah berlangsung hari ini bertempat di VIP Hall 4, The Rizqun International Hotel, Gadong.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh.

Atur cara majlis merangkumi ucapan pembukaan, ucapan sokongan, pengenalan Ahli-ahli Lembaga Pengelola dan tetamu khas serta pembentangan mengenai SEAMEO SEARCA dan peranannya dalam memperkukuh kerjasama dan pembangunan serantau.

Mesyuarat Lembaga Pengelola ini menyediakan platform penting bagi negara-negara anggota dan institusi yang mengambil bahagian untuk bertukar pengetahuan dan pengalaman, memperkukuh jalinan kerjasama serta meneroka peluang kolaborasi dalam memajukan pendidikan pertanian, penyelidikan dan pembangunan serantau.

Melalui dialog dan kerjasama yang berterusan, mesyuarat ini turut memperkukuh usaha bersama dalam menangani cabaran serantau serta memajukan inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan yang mampan dan inklusif di rantau Asia Tenggara.