Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 26 September. - Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) telah memulakan pelaksanaan Kursus Latihan Asas Kesihatan Mental Untuk Pemimpin Masyarakat (Penghulu Mukim dan Ketua Kampung) bermula Isnin, 14 September 2026.
Kira-kira 20 orang peserta terpilih untuk mengikuti kursus ini terdiri daripada penghulu-penghulu mukim dan ketua-ketua kampung di bawah KHEDN.
Kursus Latihan Asas Kesihatan Mental Untuk Pemimpin Masyarakat ini merupakan usaha berterusan Kementerian Kesihatan dengan sokongan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dalam sama-sama menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai isu-isu berkaitan kesihatan mental, sepertimana dalam beberapa titah baginda, termasuk Titah Sempena Sambutan Hari Raya Aidil Adha 1443 Hijrah / 2022 Masihi dan juga sempena sambutan llal Hijrah 1446 Hijrah / 2024 Masihi.
Di samping itu, kursus ini juga merupakan salah satu tindakan berkepentingan di dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022-2025, yang khusus terkandung dalam Strategi 3: Mengukuhkan Promosi Kesihatan Mental dan Pencegahan Penyakit Kecelaruan Mental.
Kursus Latihan Asas ini dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, dan diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Psikologis Klinikal dan Ketua Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Awang Haji Matassan.
Kursus ini akan berjalan selama lebih kurang 12 minggu, dan dijangka siap dilaksanakan pada penghujung bulan November 2026 nanti.
Antara pengisian kursus termasuk ilmu-ilmu berkaitan dengan kesihatan mental dan psikologi, dari perspektif Islam dan juga sains perubatan. Peserta-peserta juga akan diberikan pendedahan mengenai teknik-teknik kaunseling, pendekatan psikologi dan rawatan-rawatan holistik dan bersepadu.
Semasa kursus ini dijalankan, para peserta akan mengikuti sesi pengongsian ilmu yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Hopsital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Bahagian Psikologi Klinikal dan Bahagian Psikologi Masyarakat, serta Unit Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan.
Kursus ini juga disokong juga oleh Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Jabatan Hal Ehwal Syariah dan Pusat Da'wah Islamiah, KHEU, serta Fakulti Usuluddin, Universiti Islam Sultan Sharif Ali.
Kursus ini dihasratkan untuk meningkatkan kepekaan kepentingan penjagaan kesejahteraan emosi dan mental dari sudut pandangan islam, serta mengurangkan stigma dan pandangan negatif terhadap kesihatan mental khususnya di kalangan masyarakat di negara ini.
la juga diharap untuk menjadi satu platform pembarigaan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan mental dan kesejahteraan diri yang terdapat di negara ini, sama ada di sektor kerajaan mahupun sektor swasta.